JURULATIH Korea Selatan, Kim Bong Gil menuntut semangat juang
tinggi anak buahnya untuk menewaskan Malaysia pada aksi suku akhir Kejohanan
Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Bawah 23 (B-23) Tahun di Stadium Kunshan,
China esok.
Walaupun di atas kertas finalis 2016 itu seharusnya tiada
masalah mara ke separuh akhir, namun beliau tetap berwaspada selepas melihat
persembahan pemain negara mengejutkan Arab Saudi 1-0 pada aksi terakhir
Kumpulan C.
"Kami mengharungi perlawanan sukar dengan Australia tapi
saya percaya semua pemain akan bersedia berdepan Malaysia. Kami mempunyai
pemain yang bersemangat tinggi dan saya percaya dengan kemampuan pemain.
"Kami tak menjangkakan Malaysia boleh menewaskan Arab Saudi
dan saya menyaksikan perlawanan itu, ternyata Malaysia memiliki kekuatan di
bahagian serangan dan pertahanan," katanya pada sidang media di sini, hari
ini.
Korea Selatan menepati ramalan melangkah ke suku akhir apabila
muncul juara Kumpulan D dengan mengumpul tujuh mata hasil kemenangan ke atas
Australia 3-2, Vietnam 2-1 dan seri 0-0 menentang Syria.
Biarpun dianggap pasukan pilihan di kejohanan ini selepas tumpas
2-3 kepada Jepun pada final di Qatar 2016, namun agak memeranjatkan apabila
tiada wartawan dari negara itu hadir membuat liputan.
Bong Gil, 51, yang juga bekas jurulatih Incheon United percaya
anak buahnya tidak tertekan biarpun mereka memiliki rehat kurang sehari apabila
hanya beraksi perlawanan terakhir kumpulan menentang Australia, kelmarin.
"Malaysia ada kelebihan rehat sehari berbanding kami, tapi
pemain kami ada semangat juang yang tinggi. Pemain sudah berehat semalam dan
saya berharap mereka akan pulih," katanya.
Ketika ditanya adakah beliau yakin mereka mampu menyingkirkan
Malaysia dalam tempoh 90 minit permainan, Bong Gil berkata: "Saya tidak
tahu keputusan perlawanan itu, kami hanya perlu mengharungi setiap babak dalam
permainan dan cuba menjaringkan gol."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan