PENYERANG sensasi Korea Selatan, Lee Keun Ho percaya mereka
sudah mendapat rentak untuk menyekat Malaysia daripada melakukan satu lagi
kejutan pada aksi suku akhir Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Bawah
23 (B-23) Tahun di Stadium Kunshan, esok.
Katanya, kemenangan ke atas Australia 3-2 pada aksi terakhir
Kumpulan D kelmarin, menyuntik keyakinan mereka untuk berdepan naib juara
Kumpulan C itu.
"Semua pemain sangat fokus untuk perlawanan ini dan rentak
permainan kami sangat baik, jadi sebab itu saya boleh menjaringkan dua gol dan
satu bantuan gol (menentang Australia)," katanya.
Korea Selatan hadir dengan rekod baik di kejohanan ini selepas
muncul naib juara pada edisi terakhir 2016 apabila tewas 2-3 kepada Jepun pada
final di Doha, Qatar.
Keun Ho, 21, mencuri tumpuan dengan meledak dua gol ketika
menewaskan Australia 3-2 selepas turut mencipta gol kemenangan mengalahkan
Vietnam 2-1.
Dia yang kini menuntut di Universiti Yonsei cukup serasi
menerajui bahagian serangan bersama Han Seung Gyu yang turut mencetak nama
sebagai penjaring gol dalam perlawanan dengan Australia.
Menurut Keun Ho, mereka memiliki sedikit kelebihan kerana sudah
biasa beraksi di Stadium Kunshan pada sepanjang kempen kumpulan berbanding
Malaysia yang bermain di Changshu kecuali perlawanan menentang Arab Saudi di
Kunshan.
"Kami sudah biasa dengan stadium dan padang latihan. Saya
tak fikir ia perlawanan mudah menentang Malaysia tapi keyakinan kami semakin
meningkat. Sasaran kami memenangi kejuaraan dan kami akan melakukan yang
terbaik," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan