KUALA LUMPUR 17 Jan. - Korea Selatan sah lawan
yang bakal ditentang oleh Malaysia dalam suku akhir Kejohanan Konfederasi Bola
Sepak Asia (AFC) Bawah 23 (B-23), Sabtu ini selepas gergasi bola sepak Asia itu
muncul juara Kumpulan D dengan menumpaskan Australia 3-2 di Stadium Kunshan,
China sebentar tadi.
Selepas Malaysia memahat sejarah muncul wakil
Asia Tenggara pertama mara ke suku akhir dengan mengalahkan Arab Saudi 1-0
semalam, Vietnam mengiringi kemaraan anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee apabila
turut mengesahkan tiket ke peringkat lapan terbaik setelah mengikat Syria 0-0
untuk muncul naib juara Kumpulan D.
Selaku naib juara kumpulan, Vietnam akan
berdepan juara Kumpulan C, Iraq yang sebelum ini membenam Malaysia 4-1 dalam
perlawanan pembukaan mereka.
Di atas kertas, Korea Selatan adalah pilihan
utama untuk memenangi pertarungan di Stadium Kunshan, Sabtu ini, apatah lagi
mereka turun dengan reputasi selaku naib juara 2016 selepas kalah tipis 2-3
kepada Jepun.
Begitupun, kejayaan Malaysia mengejutkan naib juara
2013, Arab Saudi pada peringkat kumpulan membuktikan tiada apa yang mustahil
untuk dilakukan jika pasukan negara mampu menunjukkan prestasi terbaik.
Skuad muda negara juga sebelum itu mengikat
Jordan, pasukan yang menduduki tangga ketiga pada kejohanan 2013 menerusi
keputusan 1-1 dalam perlawanan kedua Kumpulan C. - UTUSAN ONLINE
SUKU AKHIR
JUMAAT
Jepun lwn Uzbekistan
(Stadium Jiangyin, 4 petang)
Qatar lwn Palestin
(Pusat Sukan Olimpik Changzhou, 7.30 malam)
SABTU
Korea Selatan lwn MALAYSIA
(Stadium Kunshan, 4 petang)
Iraq lwn Vietnam
(Stadium Changshu, 7.30 malam)

Tiada ulasan:
Catat Ulasan