REMBAU: Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar
yakin bola sepak negara akan terus mempamerkan kebangkitan dan meraih
pencapaian lebih baik pada masa depan berikutan pendekatan komprehensif dan
profesionalisme dilakukan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Perkongsian
Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) dalam mengendalikan liga tempatan.
Menurutnya, ketokohan dan kepimpinan terbaik Tunku Mahkota Johor
yang juga Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, selain sikap
profesionalisme yang tinggi mendorong banyak syarikat swasta sudi memberikan
penajaan.
"Saya lihat banyak penajaan ketika ini yang tampil
bekerjasama dengan FAM dan percaya ini kerana keyakinan mereka terhadap
kewibawaan kepimpinan FAM dan FMLLP.
"Saya harap lebih banyak lagi akan tampil untuk sama-sama
membangunkan bola sepak negara. Saya memberikan sokongan penuh kepada
kepemimpinan FAM untuk terus berusaha, supaya dapat terus meyakinkan syarikat
dan menambah nilai tajaan.
"Menerusi usaha ini, saya yakin kebangkitan bola sepak
tempatan dari segi populariti dan pencapaiannya akan terus meningkat pada masa
depan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program ramah mesra
Wanita Bersama Pemimpin di Muzium Raja Melewar, Kampung Astana Raja, di sini,
hari ini.
Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, hasil kepimpinan
yang baik dari badan induk bola sepak negara dan FMLLP selaku pengendali utama
liga bola sepak tempatan, memberi kesan baik kepada pembangunan sukan nombor
satu itu.
Baru-baru ini, satu perjanjian dimeterai antara FMLLP dengan
syarikat ekonomi digital antarabangsa, iflix.
Kerjasama itu membabitkan
agihan hak penyiaran bernilai RM30 juta setahun yang dinikmati semua pasukan
bola sepak dalam Liga Malaysia selama 10 tahun.MENTERI Belia dan Sukan merangkap Ahli Parlimen, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyampaikan sumbangan khas pada program ramah mesra wanita bersama pemimpin di Muzium Rembau Kampung Astana Raja, Rembau. - Foto Hazreen Mohamad
Tiada ulasan:
Catat Ulasan