KUALA LUMPUR 1 Feb.- Persatuan Bola Sepak
Malaysia (FAM) berharap musim baharu Liga Malaysia (Liga M) bebas daripada
sebarang insiden buruk seperti rusuhan dan keganasan.
Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan FAM, Datuk
Seri Zulkifli Abdullah percaya, dengan beberapa perancangan yang dirangka
bersama pihak polis, sasaran itu mampu dicapai.
Beliau akan mencadangkan dalam mensyuarat exco
FAM akan datang dengan menyarankan setiap persatuan dapat melantik marsyal
dalam kalangan penyokong seperti dilakukan oleh Kelab Penyokong Johor Darul
Ta’zim (JDT).
“Jawatankuasa memandang berat aspek keselamatan
kerana kita mahu perlawanan liga berjalan lancar dan penyokong dapat menikmati
perlawanan dalam keadaan selesa. Tahun lepas insiden atau rusuhan yang berlaku
tidak terlalu serius tapi kalau boleh kita amat berharap tahun ini perkara itu
tidak akan berlaku.
“Sebagai langkah kita akan mengadakan bengkel
melibatkan pegawai keselamatan persatuan, pengurus stadium dan juga ketua polis
daerah bagi memberi penerangan.
“Kita juga menggalakkan persatuan negeri
mengambil contoh seperti JDT yang melantik lebih kurang 300 marsyal untuk
membantu mengawal perlakuan penyokong yang hadir. Perkara ini juga akan
dipanjangkan dalam mensyuarat exco FAM akan datang,” katanya dalam sidang media
sejurus tamat sesi perbincangan Jawatankuasa Keselamatan FAM di sini, hari ini.
Selain itu, Zulkifli turut menyarankan
pengurusan setiap stadium dapat meletakkan nombor di setiap tempat duduk
penyokong bagi memudahkan pengawal keselamatan memastikan tiada kehadiran
penyokong yang hadiri melebihi kapasiti stadium.
“Kebanyakan tempat duduk di stadium tiada
nombor, ini menyebabkan jumlah kedatangan penyokong melebihi jumlah kapasiti
stadium tersebut dan menyebabkan kesukaran pegawai keselamatan mengawal keadaan
itu. Jika terdapat nombor di setiap tempat duduk maka sudah pasti ia akan
memudahkan lagi tugas kami,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan