UNSHAN, China 16 Jan. - Penjaga gol skuad bawah 23 (B-23)
negara, Haziq Nadzli mengakui walaupun turun dengan status pasukan bukan
pilihan, namun mereka tidak boleh memandang terlalu tinggi kepada Arab Saudi.
Malaysia akan bertemu Arab Saudi dalam aksi terakhir
Kumpulan C Kejuaraan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) (B-23) di Stadium
Kunshan pada pukul 7.30 petang ini.
Haziq berkata, untuk menghadapi Arab Saudi dia perlu memberi
penekanan terhadap kelebihan lawan terutamanya ketika berdepan situasi bola
mati mahupun hantaran lintang.
“Sekarang ini kami berdepan misi wajib menang dan di atas
kertas, Arab Saudi adalah pasukan besar namun kita tidak boleh pandang terlalu
tinggi kepada mereka.
“Bagi saya ini adalah pertemuan 11 lawan 11 dan saya akui
mereka bahaya terutamanya dalam sepakan bola mati dan hantaran lintang sebab
mereka ada ramai pemain yang tinggi.
“Bagaimanapun sebagai penjaga gol saya perlu menggunakan
kelebihan saya yang boleh menggunakan tangan untuk melompat serta menangkap
bola, dan itu dapat membantu di bahagian pertahanan,” katanya kepada Utusan
Malaysia di hotel penginapan hari ini.
Dalam pada itu, Haziq menggesa agar benteng pertahanan tidak
leka sepanjang perlawanan terutamanya pada saat akhir permainan kerana sedikit
kealpaan mampu mengubah segalanya.
“Sewaktu menentang Jordan, kita kerap diasak pada saat akhir
permainan dan saya banyak memberi arahan di bahagian pertahanan. Saya perlu
membantu pertahanan dan mereka perlu melakukan perkara yang sama,” katanya.-
UTUSAN ONLINE
HAZIQ NADZLI ketika sedang menjalani sesi latihan dalam persediaan menghadapi Arab Saudi pada Kejuaraan AFC B-23 di China.- FOTO UTUSAN/AIZZUL A. MAJID

Tiada ulasan:
Catat Ulasan