CHANGSHU, China – Ketua
jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe menggesa skuad bawah 23 tahun (B-23)
negara tidak terlalu menghormati pasukan lawan menjelang aksi kedua Kumpulan C
Kejuaraan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-23 bertemu Jordan di Stadium Changshu
hari ini.
Perlawanan menentang pasukan bimbingan Iain
Brunskill bakal menjadi penentu perjuangan buat skuad kendalian Datuk Ong Kim
Swee dalam kempen Piala AFC B-23 2018 China.
Skuad muda negara tewas 1-4 kepada juara
edisi pertama, Iraq dalam aksi pembukaan Kumpulan C Rabu lalu, tetapi Cheng Hoe
menasihatkan pemain-pemain muda negara tidak seharusnya tertekan dengan
keputusan tersebut.
Sebaliknya, bekas jurulatih Kedah itu menegaskan,
pasukan muda negara tidak perlu rasa ada hormat kepada pasukan lawan khususnya
Jordan kerana Cheng Hoe optimis skuad kendalian Kim Swee memiliki keupayaan
untuk melakukan kejutan.
“Apa yang penting pemain-pemain turun
dengan keyakinan tinggi, jangan terlalu tertekan dengan kekalahan besar kepada
Iraq. Dalam bola sepak jika pemain itu turun dengan satu keyakinan dan bermain
sebagai satu pasukan, saya yakin bukan mudah pasukan lain mahu menang dengan
kita.
“Malah kemungkinan kita juga boleh menang
dengan pasukan lawan dan seperti yang dikatakan, kita tidak boleh terlalu
hormat pasukan lawan kerana kita juga datang dengan persediaan terbaik,”
katanya kepada pemberita ketika ditemui di Merrylands Traders, Changshu
semalam.
Dalam perkembangan sama, Cheng Hoe
menganggap pemain-pemain muda negara telah meraih pengalaman cukup berguna
sepanjang bermain di pentas Kejuaraan AFC B-23.
Katanya, mereka harus bijak memanfaatkan
peluang itu selain berusaha keras untuk bersaing dengan pasukan-pasukan elit
dalam kejohanan berprestij tinggi di peringkat usia tersebut.
“Memang kalau kita tengok dari segi
kualiti (AFC B-23) memang cukup tinggi. Pada pusingan akhir, kebanyakan pasukan
membuat persediaan terbaik (tetapi) pemain-pemain negara juga memberikan satu
tentangan yang hebat.
“Saya rasa ini adalah pengalaman terbaik
dalam pentas Asia demi masa depan pemain-pemain negara sendiri.
“Memanglah mana-mana pasukan atau negara
sekali pun, pemain-pemain B-23 adalah masa depan negara. Mereka dapat belajar
banyak dan merasai pengalaman cukup baik sepanjang bermain di sini.
“Setiap kali bermain di
kejohanan berkompetitif tinggi, pemain akan belajar sesuatu. Saya harap
pemain-pemain B-23 tidak akan berhenti belajar sesuatu yang terbaik seperti
mereka perlu meningkatkan ilmu dari segi teknikal, fizikal serta mentaliti.
Saya berharap pemain-pemain ini dapat main bola sepak lebih bagus untuk
bersaing di peringkat antarabangsa,” ujarnya.PARA pemain skuad muda negara perlu turun dengan keyakinan tinggi untuk meraih kemenangan ke atas Jordan pada aksi Kejuaraan AFC B-23 di Stadium Changshu hari ini.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan