Serbegeth Singh
Perlawanan akhir bola sepak Sukan SEA 2017 berlangsung pada 29
Ogos 2017 dan kita gagal memenangi pingat emas. Tetapi, kepada segelintir
penyokong pula, kita berjaya memenangi pingat perak! Kita tewas 1-0 kepada
pasukan Thailand.
Selepas 135 hari maka tidak kelihatan apa-apa perbezaan kepada
persembahan pasukan Bawah 23 termasuk soal prestasi pemain. Pada 10 Januari
2018, kita tewas 1-4 di tangan Iraq di kejohanan AFC Bawah 23 Tahun di China.
Kita tidak menjangkakan kemenangan atau keputusan positif,
tetapi prestasi pemain individu menjadi harapan semoga kita boleh bayangkan
masa depan bola sepak. Akan tetapi, selepas begitu banyak masa yang berlalu,
kita masih kekal atau “stand still” sebagai individu serta berpasukan.
Penjaga gol, Ifwat Akmal yang menjadi pemain simpanan semasa
Sukan SEA, diturunkan sebagai pilihan utama dan menunjukkan aksi baik walaupun
gol kedua Iraq mungkin dapat ditepis. Persembahannya memberangsangkan dan jelas
dia harus kekal di posisi itu.
Pemain bek sayap kanan, Matthew Davies konsisten seperti di
Kuala Lumpur dan tidak mengecewakan pada perlawanan pertama di Changshu. Rakan
sepasukan dari Pahang, Nor Azam Azih sekali lagi menjadi pemain terbaik kita.
Hanya dia yang mempunyai keyakinan serta teknik di bahagian tengah di mana Iraq
banyak melakukan asakan.
Pemain tengah itu harus mencuba nasib di luar Malaysia kerana
segala-galanya lebih lengkap.
Persembahan Irfan Zakaria serta Adam Nor Azlin kekal seperti di
Sukan SEA tanpa perbezaan dengan masih tidak konsisten selama sembilan puluh
minit. Ada keselesaan melakukan pertahanan, tetapi masih kurang kemas membuat
hantaran ke bahagian tengah atau serangan.
Kita masih ingat betapa Safawi Rasid mementingkan persembahan
individu dan di perlawanan pertama AFC Bawah 23 Tahun ini, isu sama masih
berlaku. Dia cepat hilang sabar apabila Malaysia ketinggalan. Apa juga corak
taktikal disiplin, lebur dan ini memberi tekanan ke atas rakan sepasukan yang
lain. Dia tidak membantu pasukan dengan turun ke bahagian tengah untuk menerima
bola.
Sebagai pemain, ada tugas dan tanggungjawab serta fungsi
tertentu, tetapi kehilangan tumpuan kerana emosi boleh membebankan pasukan.
Lebih elok mengekalkan disiplin bertahan dan kekal kedudukan 1-0 sehingga
sepuluh minit terakhir. Kemudian kita ambil risiko sama ada terikat 1-1 atau
tewas 2-0.
Pemain sayap ini selalunya juga kerap menjaringkan gol di lewat
permainan. Mungkin lebih sesuai Safawi menjadi pemain impak yang diturunkan di
lewat permainan seperti Akhyar Rashid.
Seperti di Sukan SEA 2017, penyerang Jafri Chew Abdullah memang
sibuk di atas padang tetapi tidak memberi impak.
Iraq bukan pasukan yang luar biasa kerana mereka juga kekurangan
idea di bahagian serangan walaupun banyak menguasai bola. Pemain Iraq lebih
kemas dari segi teknikal serta mempunyai tahap kecergasan yang tinggi.
Pasukan lawan kita seterusnya, Jordan pula agresif serta
mempunyai corak permainan yang kemas. Setiap peluang, bola akan ditolak kepada
pemain kidal di sayap kanan. Pemain yang menyarung jersi nombor 10 pula lincah
dengan kebolehan menggelecek. Sebagai pemain sayap, Mousa Al Taamari begitu
berbisa kerana selesa menguasai bola.
Kejayaan menyekat Al Taamari boleh menentukan sedikit keselesaan
bagi pasukan kita.
Pasukan Arab Saudi dikejutkan ketika menentang Jordan dan akan menganggap
perlawanan menentang Malaysia sebagai satu pertemuan mencari jumlah gol yang
besar.
Kita menerima kedudukan
bola sepak kita dan jarang mampu memberi tekanan di peringkat antarabangsa.
Kita hanya berharap boleh melakukan kejutan dari masa ke semasa dalam
perlawanan.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan