Featured post

📆 Jadual perlawanan CIMB Liga Super dan Liga Premier musim 2020!#LigaMalaysiaKembali#CIMBLigaSuper2020#LigaPremier2020

📆 Jadual perlawanan CIMB Liga Super dan Liga Premier musim 2020! Untuk download,  https:// https:/U/ we.tl/t-O8tyMSagYQ Anda bole...

Khamis, 18 Januari 2018

Jangan gentar dengan Korea: Dominic

TONGGAK pertahanan, Dominic Tan menegaskan mereka tidak perlu takut dengan reputasi Korea Selatan apabila kedua-dua pasukan membuat perhitungan pada suku akhir Kejohanan AFC Bawah 23 Tahun di Stadium Kunshan, China, Sabtu ini.
Skuad negara terpaksa berdepan Korea Selatan selepas skuad naib juara 2016 itu menamatkan kempen Kumpulan D selaku juara dengan menewaskan Australia 3-2 pada aksi terakhir semalam.
Bagi Dominic yang membantu skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee melakar sejarah mara ke pusingan kalah mati buat kali pertama percaya, mereka mampu memberi tentangan kepada pasukan pilihan itu.
"Biarlah jika orang mahu pandang rendah, kami akan kejutkan mereka. Kami hanya pamerkan permainan sendiri, hanya fikirkan mengenai pasukan sendiri dan tak perlu risau dengan pasukan lain.
"Kami sudah sampai ke tahap ini. Kami mesti teruskan dan harapnya dapat keputusan yang baik menentang Korea Selatan," kata pemain berusia 20 tahun itu.
Dominic antara pemain yang mempamerkan peningkatan ketika Malaysia seri 1-1 dengan Jordan dan menang 1-0 ke atas Arab Saudi meskipun prestasinya dikritik hebat ketika tumpas 1-4 kepada Iraq pada aksi pembukaan.
Pemain Johor Darul Ta'zim II (Johor DT II) itu mengisi tempat Adib Zainuddin yang sebelum ini menjadi tonggak utama ketika pusingan kelayakan Kejohanan AFC B-23 di Bangkok tahun lalu dan Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur.
"Saya sudah lama tak beraksi perlawanan kompetitif seperti ini, Sukan SEA saya tak main, kelayakan AFC juga saya tak main jadi perlawanan pertama saya agak bergelut dan selepas itu saya sudah dapat rentak, kira sekarang saya semakin yakin," kata Dominic.
PEMAIN pertahanan negara, Dominic Tan (kiri) percaya dia dan rakan sepasukan mampu memberi tentangan kepada Korea Selatan apabila kedua-dua pasukan membuat perhitungan Sabtu ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan