Cuba takut-takutkan pemain negara ketika
bertembung di hotel penginapan
CHANGSHU, China – Belum lagi
sepak mula aksi pertama Kumpulan C Kejuaraan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC)
bawah 23 tahun (B-23) Malaysia dan Iraq di Stadium Changshu, Rabu ini, perang
psikologi sudah berlaku terhadap skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee.
Itulah yang didedahkan oleh penjaga gol No.
1 negara, Haziq Nadzli ketika menceritakan pengalamannya sepanjang berada di
hotel penginapan, Merrylands Traders.
Merylands Traders merupakan penginapan
keempat-empat pasukan yang bermain dalam Kumpulan C iaitu Malaysia, Iraq,
Jordan serta Arab Saudi dan kesemua pemain terlibat akan bersama-sama makan
petang dan malam.
Haziq berkata, pemain-pemain pasukan Iraq
kendalian Abdul Ghani Shahad dilihat sengaja bertindak biadap dan kasar
seolah-olah cuba menakut-nakutkan skuad Malaysia sebagai serangan psikologi
sebelum aksi pertama kedua-dua pasukan terbabit.
Menurut penjaga gol Johor Darul Ta’zim
(JDT) itu, mereka dilihat cuba mengganggu fokus penyerang negara, Muhammad
Jafri Muhammad Firdaus Chew apabila mereka pergi berdepan dan sengaja merenung
‘tajam’ kepada bintang Selangor PKNS itu ketika berada dalam lif penginapan.
Haziq bagaimanapun berkata, penjaga gol
Kedah, Ifwat Kamal Chek Kassim yang melihat insiden tersebut terus tampil ke
arah pemain-pemain Iraq tersebut untuk mempertahankan rakan sepasukannya itu.
“Iraq memang berbahaya dari segi fizikal
dan mereka sudah mula melancarkan perang psikologi ketika kami makan (di
hotel). Mereka sengaja memandang secara berdepan dalam jarak rapat terhadap
Jafri ketika berada dalam lif dan perbuatan itu dilihat kurang ajar.
“Semalam (kelmarin) mereka sengaja
memandang Jafri untuk menakutkannya tetapi Ifwat membalas serangan psikologi
mereka dengan melakukan perkara sama kepada pemain-pemain Iraq.
“Cara mereka dilihat cuba mengganggu fokus
kami tetapi saya percaya rakan-rakan sepasukan menghormati mereka tetapi tidak
takut kepada mereka. Biarpun mereka pasukan pilihan, kami tetap akan berjuang
nanti,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Merrylands Traders semalam.
Dalam perkembangan sama, Haziq juga mahu
melupakan insiden final Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 apabila dia menjaringkan
gol sendiri ketika skuad muda negara tewas 0-1 kepada Thailand di Stadium Shah
Alam, Ogos lalu.
Berbekalkan azam baharu bagi tahun 2018,
pemain berusia 19 tahun itu kini bersedia membuka buku baharu dengan memberi
fokus kepada Kejuaraan AFC B-23.
“Saya akan lebih fokus dan bekerja keras
dalam sesi latihan. Perlawanan (menentang Iraq) sudah semakin dekat, jadi bila
perlawanan itu bermula nanti, kami mahu lebih bersedia. Saya sudah lupakan
insiden final Sukan SEA dan saya ada azam tahun baharu,” katanya.
HAZIQ mahu lebih fokus dalam
latihan menjelang pertemuan dengan pasukan Iraq di Stadium Changshu, China,
Rabu ini.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan