PENYERANG skuad bawah 23 (B-23) tahun negara, Safawi Rasid
berharap khabar angin yang mengaitkan dirinya dengan dua kelab Liga Korea
menjadi kenyataan.
Ini kerana pemain yang beraksi bersama Johor Darul Ta’zim (JDT)
itu memang menyimpan impian beraksi di liga negara berkenaan atau Jepun sebagai
langkah mengembangkan karier serta meningkatkan permainannya.
Menurutnya, pengalaman beraksi di Kejohanan Konfederasi
Bolasepak Asia (AFC) B-23 di China, baru-baru ini memberi keyakinan untuk
menyahut cabaran beraksi di liga luar.
“Walaupun sekadar khabar angin tapi ia cukup menggembirakan
saya. Setakat ini belum ada mana-mana kelab Korea membuat tawaran. Tapi, saya
sangat berharap ia menjadi kenyataan.
“Buat masa ini tumpuan
saya bersama JDT bagi menghadapi Liga Malaysia yang bermula minggu depan. Saya
perlu fokus kerana sasaran saya merebut tempat dalam kesebelasan utama.
“Ia bukan mudah kerana selain perlu bersaing dengan pemain
import, JDT mempunyai ramai pemain tempatan berkualiti sekali gus menjadikan
perebutan tempat bertambah sengit,” katanya.
Pemain kelahiran Dungun berusia 21 tahun itu antara watak
penting yang membantu skuad negara mencipta kejutan layak ke suku akhir
kejohanan berkenaan.
Susulan prestasi cemerlangnya, seorang wartawan bola sepak
antarabangsa, John Duerden melaporkan dua kelab Korea Selatan berminat
mendapatkan Safawi.
Bagaimanapun, beliau tidak menyebut nama kedua-dua kelab
berkenaan.
Selain
Safawi, seorang lagi pemain yang menarik minat pasukan luar adalah Akhyar
Rashid dengan kelab dari Korea, Thailand dan Indonesia dikatakan mula
merisiknya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan