
KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih Melaka United (MU), Zainal Abidin Hassan tidak rela melihat pasukannya jatuh semula apabila mempamerkan kebangkitan yang cemerlang selepas Liga Super kembali bersambung pada hujung bulan lalu.
MU sebelum ini pernah tergelincir ke kedudukan bawahan liga selepas ditolak tiga mata oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) susulan masalah tunggakan gaji.
Justeru, beliau berharap barisan pemainnya dapat meneruskan prestasi terbaik apabila melayan kunjungan PJ City di Stadium Hang Jebat, malam ini.
"Saya sudah cakap dengan pemain, setiap perlawanan adalah tekanan bagi kami kerana kedudukan kami dari tangga ke-11. Tapi sekarang kami sudah naik dan berada dalam kelompok lima teratas.
"Jadi pemain kena beri lebih tumpuan, saya tak nak mereka jatuh balik. Mereka kena kekalkan prestasi dan disiplin untuk maju dan saya rasa Melaka United boleh pergi ke tahap lebih baik," katanya.
MU kini mengumpul 10 mata selepas tujuh perlawanan, sementara PJ City pula mengumpul enam mata.
Sementara itu, ketua jurulatih PJ City, K Devan mahu anak buahnya membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata dari Melaka.
"Dalam bola sepak tiada yang mustahil, kita kena positif, pergi ke sana (Stadium Hang Jebat) dan memberikan aksi terbaik. Paling jurang kita cuba dapatkan mata," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan