Featured post

📆 Jadual perlawanan CIMB Liga Super dan Liga Premier musim 2020!#LigaMalaysiaKembali#CIMBLigaSuper2020#LigaPremier2020

📆 Jadual perlawanan CIMB Liga Super dan Liga Premier musim 2020! Untuk download,  https:// https:/U/ we.tl/t-O8tyMSagYQ Anda bole...

Khamis, 24 September 2020

Pulau Pinang Perlu Segera Jika Tidak Mahu Terlepas 'Tiket' Liga Super Lagi

Pulau Pinang layak Liga Super 2021

 Sejarah bakal berulang iaitu gagal meraih promosi ke Liga Super, jika Pulau Pinang gagal melengkapkan proses penswastaan kelab sebelum 30 September depan.

Musim lalu, walaupun sudah meraikan kejayaan meraih promosi ke Liga Super 2020, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kemudiannya telah mengumumkan yang mereka dipotong enam mata atas masalah tunggakan gaji pemain import, Reinaldo Lobo.

Sejarah bakal berulang?

Disebabkan itu, mereka terjunam ke kedudukan ke-7 Liga dan tiket ke Liga Super telah diberikan kepada PDRM yang berada di belakang mereka. Secara meritnya, ketika itu Pulau Pinang sudah layak, namun atas faktor teknikal, ia mengubah segalanya.

Musim ini, skuad kendalian Manzoor Azwira sekali lagi mengesahkan promosi ke Liga Super 2021 – berbaki tiga perlawanan lagi. Namun, segalanya belum muktamad selagi Harimau Kumbang tidak menyelesaikan proses penswastaan kelab mereka.

Semalam, FAM mengesahkan sebanyak 12 pasukan sudah berjaya melengkapkan penswastaan kelab yang turut merangkumi proses pemisahan daripada persatuan bola sepak (FA) ke kelab bola sepak (FC) – dan ia tidak termasuk Pulau Pinang.

12 pasukan tersebut adalah juara enam kali Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT), Sarawak United FC, Petaling Jaya City FC, Armed Forces FC, Negeri Sembilan, Kelantan United FC, Melaka, Terengganu FC, Kuching FA, Sabah, Kuala Lumpur dan Perak.

Pencabar-pencabar sudah lengkapkan proses

Bakinya, masih dalam proses, sama ada di peringkat akhir ataupun di peringkat pertengahan. Pencabar-pencabar terdekat Harimau Kumbang seperti Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Kelantan United dilihat berpeluang merampas ‘tiket’ mereka.

FAM turut memaklumkan status untuk Selangor, Kelantan dan Felda United FC – yang sedang memasuki peringkat akhir proses itu, manakala Pahang, Pulau Pinang dan Kedah pula masih dalam peringkat pertengahan proses penswastaan tersebut.

Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) dalam pada itu pada sebelah malamnya mengumumkan yang mereka sudah melengkapkan pendaftaran Penang Football Club (Penang FC) dan masih dalam proses penswastaan pasukan untuk musim hadapan.

Melihatkan dokumen yang dilampirkan itu, ia mungkin adalah sijil pendaftaran syarikat di mana ia merupakan salah satu proses pemisahan daripada FA kepada FC – yang membolehkan sebuah entiti berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Penutup

Adalah menyedihkan untuk penyokong bola sepak Pulau Pinang jika sekali lagi mereka gagal mendapat promosi ke Liga Super. Dan ia turut memedihkan buat pengendalinya, Manzoor Azwira yang sudah dua kali secara merit meraih promosi itu.

Diharapkan FAP tidak ‘ralit’ kerana hanya tinggal tidak lebih seminggu lagi, semuanya akan berakhir. Menurut FAM, ” Ini [proses penswastaan] tidak boleh dianjakkan lagi dan ia perlu diberi perhatian serta tindakan segera daripada pengurusan pasukan.”

KREDIT FEATURED IMAGE: FA PENANG

Tiada ulasan:

Catat Ulasan