Kuala Lumpur : Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap Duta Besar Qatar ke Malaysia, Fahad Mohammed Kafoud di Istana Negara, hari ini.
Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, pertemuan berkenaan berlangsung hampir satu jam bermula 11.45 pagi.
Pada pertemuan itu, Fahad menyembah maklum mengenai persiapan Qatar sebagai tuan rumah Piala Dunia 2022 yang bakal dianjurkan pertama kalinya oleh negara Islam dan negara Timur Tengah pada akhir bulan November hingga pertengahan Disember, 2022.
Al-Sultan Abdullah turut berkenan menerima persembahan dari duta besar Qatar itu berupa replika semua lapan stadium yang dibina di Qatar bagi Piala Dunia 2022 yang mana setiap stadium bercirikan konsep kehidupan masyarakat Timur Tengah dengan reka bentuk dan seni bina tersendiri.

"Seri Paduka turut menyatakan bahawa baginda mengikuti perkembangan terkini sukan bola sepak dunia, khususnya di Asia, kerana baginda mempunyai minat yang mendalam terhadap sukan.
"Pembabitan aktif Al-Sultan Abdullah dalam sukan bola sepak di peringkat domestik dan rantau antarabangsa sangat terserlah menerusi pengalaman baginda menerajui beberapa persatuan-persatuan sukan terbabit di dalam dan di luar negara," kata kenyataan itu.
Untuk rekod, antara jawatan yang pernah disandang Al-Sultan Abdullah adalah Naib Presiden Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Ahli Majlis Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) dan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Seri Paduka juga mencipta sejarah tersendiri apabila dipilih antara tiga Anggota Jawatankuasa Eksekutif Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mewakili Asia untuk penggal 2015-2019.
Bagaimanapun, susulan daripada pelantikan sebagai Yang di-Pertuan Agong pada awal tahun lepas (2019), Al-Sultan Abdullah melepaskan jawatan-jawatan berkenaan selaras dengan Perkara 34(2), 32(3) dan 32(4) Perlembagaan Persekutuan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan