
KUALA LUMPUR: Isu membabitkan pemain naturalisasi pertama negara, Mohamadou Sumareh terus 'panas' selepas Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) menuntut Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak berdiam diri dan mencari jalan menyelesaikan kemelut itu.
PBNP berkata FAM sebagai badan induk seharusnya membantu mereka sebagai ahli gabungan dalam mendapatkan penyelesaian kemelut terbabit agar keadilan dapat ditegakkan,, sambil mereka turut mendakwa Sumareh sebenarnya berbohong dan 'mereka-reka cerita.'
Mereka menyifatkan FAM tidak menunjukkan minat untuk mencari penyelesaian walaupun pihaknya mempunyai asas yang kukuh dan dokumen sah bagi membuktikan PBNP berada di pihak yang benar.
"Pemain ini sebagaimana diketahui adalah seorang pemain tempatan dan kes ini membabitkan kawalan dan bidang kuasa FAM. Banyak kes pertikaian di antara pemain dan anggota gabungan yang sudah FAM kendalikan pada masa lalu menerusi Jawatankuasa Status Pemain atau Jawatankuasa Tatatertib FAM.
"Semua tuduhan yang dibuat oleh pemain terbabit adalah palsu, rekaan dan satu cubaan manipulasi oleh seorang pemain naturalisasi yang mendapat kerakyatan Malaysia. Atas alasan terbabit dan di atas nama kebenaran, maka PBNP berhak membentangkan kes dengan selayaknya.
"PBNP percaya pihak FAM dapat memberi perhatian yang serius dan segera terhadap perkara ini. Jika FAM masih tidak menunjukkan minat untuk mengendalikan aduan ini, PBNP tidak teragak-agak untuk merujuk kes ini kepada lain-lain badan timbang tara atau agensi kerajaan yang berkaitan malah ke pihak Pesuruhjaya Sukan Malaysia," kata PBNP dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Setiausaha Agung FAM Stuart Ramalingam ketika ditemui BH Sukan menegaskan pihaknya bukan sekadar berdiam diri tetapi sebaliknya perlu menunggu keputusan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sebelum membuat apa apa keputusan.
Stuart menjelaskan, Sumareh sudah 'melompat' apabila terus membuat aduan kepada badan induk bola sepak antarabangsa itu terlebih dahulu sekali gus memaksa FAM untuk menunggu ketetapan yang akan diberikan FIFA nanti.
"Kes ini sudah berada di tahap FIFA tetapi mereka pun akan melalui prosesnya sebelum keputusan dikeluarkan. Keputusannya nanti bukan bermakna Sumareh ataupun PBNP betul tetapi adakah kes terbabit boleh didengar di FIFA.
"Kalau kes ini ditendang dan dihantar semula kepada FAM, barulah kita boleh bergerak. Kita tidak boleh mulakan kes ketika ada kes yang sama di FIFA kerana ia seperti perkara sama dibincangkan di dua mahkamah berbeza.
"Kalau FIFA mahu dengar kes itu, terpulang kerana itu memang di bawah bidang kuasanya. Namun berdasarkan kes terdahulu, kebanyakan kes akan dihantar semula kepada FAM," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan