
KUALA TERENGGANU: Kapten Terengganu FC (TFC), Lee Tuck mengajak rakan sepasukannya melupakan episod malang tewas pada tiga aksi berturut-turut sebelum ini termasuk kekalahan mengejut kepada pendatang baharu Liga Super, UiTM Sabtu lalu.
Sebaliknya, pemain berdarah kacukan Malaysia-England itu meminta barisan pemain termasuk dirinya perlu fokus 100 peratus dan beraksi sebagai satu pasukan untuk merakam kemenangan baki tiga perlawanan termasuk bertemu pasukan di tangga tercorot liga, PDRM di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak Jumaat ini.
Baginya, hanya kemenangan sahaja yang mampu mengubat duka pasukan dan juga peminat setia dalam misi untuk berada di kedudukan lebih baik selepas peluang untuk mengintai tempat kedua liga semakin tipis.
"Sejujurnya kami bermain pada hari itu (menentang UiTM) untuk menang, namun pasukan lawan pada ketika itu berada pada kedudukan yang sangat bagus dan pujian untuk mereka kerana dapat bermain dengan baik.
"Justeru bertemu pasukan PDRM pada Jumaat ini kami tiada pilihan lain kecuali perlu menang. Itu sahaja yang berlegar dalam fikiran saya ketika ini. Kami perlu dapatkan kembali tiga mata. Saya juga berharap rakan sepasukan kembali bersedia serta fokus untuk menang,:" katanya.
Sebelum ini pengurus pasukan TFC, Ahmad Shahrizal Yahya menjelaskan kemungkinan taktikal dan strategi yang direncanakan barisan jurulatih sudah dapat dibaca pasukan lawan menyebabkan skuad Penyu tersungkur.
Skuad bimbingan Nafuzi Zain itu kini menghuni di tangga keenam liga dengan mengutip 10 mata. Peluang buat skuad itu untuk mengintai kedudukan lebih baik masih terbuka luas tapi dengan syarat perlu menang ke atas PDRM, FELDA United dan terakhir dengan Pahang di laman sendiri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan