TRW rancang bina pusat latihan lengkap RM10 juta
Pemiliknya, Norizam Tukiman berkata, tiga lokasi iaitu di Kota Baharu dan dua lokasi di luar jajahan
itu sudah dikenal pasti dan pusat berkenaan bakal dilengkapi kemudahan asas bagi keselesaan pemain.
THE Red Warriors (TRW) FC merancang akan membina pusat latihan lengkap dengan peruntukan
antara RM5 hingga RM10 juta dalam usaha menghadapi persaingan tahun 2020 hingga 2021.
“Antara kemudahannya ialah bilik mandi, dewan makan dan bilik rehat selain padang yang setaraf
dengan keperluan Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA),” katanya
kepada pemberita selepas pelancaran jersi terbaharu TRW di sini, malam tadi.
Beliau berkata, selain itu pihaknya juga merancang untuk membina pusat latihan
berbumbung supaya pemain dapat menjalani latihan pada waktu hujan dan akan
memasang lampu limpah berkualiti untuk memudahkan latihan pada waktu malam.
Katanya, perancangan itu adalah antara perubahan besar yang perlu
dilakukan untuk menjadikan pasukan TRW FC lebih disegani dan
sekurang-kurangnya dapat bersaing untuk menduduki kedudukan lima terbaik
pada Piala Malaysia, musim depan.
“Ini penting kerana Kelantan pada masa ini masih ke belakang dalam
persaingan merebut tempat teratas,” katanya.
Sehubungan itu, Norizam berkata, bagi memantapkan pasukan itu pihaknya akan
mengadakan siri latihan dengan pasukan bola sepak luar negara termasuk Jepun yang
kini sudah ada perjanjian mengenainya.
“Kita turut menyasarkan pasukan TRW FC akan menjadi kelab bola sepak
pertama yang akan ke pasaran saham atau IPO (Tawaran Awam Permulaan) di Bursa Malaysia
pada tahun 2025,” katanya.
Mengenai jersi terbaharu pasukan itu, Norizam berkata, penukaran warna mengenainya
dilakukan atas permintaan penonton yang mahukan kelainan, imej
dan semangat baharu dan ia telah dipersetujui Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA).
Katanya, harga jualan jersi antara RM69 hingga RM99 sepasang mampu dimiliki penyokong setia Kelantan.
“Jika jualan mencecah 10,000 pasang, ia sudah mencukupi sebagai tanda sokongan rakyat
Kelantan yang mahukan TRW FC bangkit kembali dalam menjuarai arena bola sepak Malaysia,
” katanya.- Bernama–
Tiada ulasan:
Catat Ulasan