
KUALA LUMPUR: Perubahan dalam hala tuju pasukan Selangor bermula musim depan dilihat menjadi punca sebenar B Satianathan terpaksa 'dikorbankan' selepas Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) menamatkan kontrak bekas jurulatihnya itu berkuat kuasa serta merta, kelmarin.
Setiausaha Agung FAS, Dr Johan Kamal Hamidon menjelaskan ini kerana persatuan itu perlu melakukan transformasi bermula musim depan khususnya menerusi perancangan mewujudkan 'DNA Bolasepak Selangor' yang seragam meliputi semua bermula pasukan utama sehingga akar umbi.
Dalam masa sama, beliau menegaskan tiada unsur sabotaj ke atas Satianathan memandangkan dia diberi sokongan penuh sepanjang menjadi jurulatih The Red Giants dengan mereka turut bersikap 'gentleman' apabila memaklumkan kedudukan Satianathan lebih awal sebelum musim berakhir.
"Ketika liga berehat sebelum ini, FAS sudah mengadakan pertemuan dengan Satianathan dan beliau sudah dimaklumkan ketika itu bahawa beliau tiada dalam perancangan untuk musim depan kerana kita perlu mengubah hala tuju kita pada musim depan.
"Ini bermakna sekiranya Selangor memenangi piala dan layak ke saingan Asia sekalipun, kontraknya tetap tidak akan disambung. Jadi tidak timbul isu mengenai konspirasi untuk menjatuhkannya ketika saingan masih berlangsung atau apa sahaja dakwaan kerana beliau sendiri pun sudah dimaklumkan mengenai kedudukannya," katanya.
Mengulas mengenai perubahan yang bakal dilakukan musim depan, Johan menjelaskan Pengarah Teknikal FAS, Michael Feichtenbeiner yang ketika ini turut menjadi jurulatih Selangor II selain memangku jawatan jurulatih skuad utama Selangor akan menjadi 'orang nombor satu' selepas ini.
"Michael akan terbabit dengan pemilihan jurulatih dan juga bagi pasukan utama di mana ini antara struktur baharu yang akan dilaksanakan bermula musim depan. Pada musim pertamanya ketika ini, dia sudahpun mengambil tanggungjawab untuk mengendalikan pasukan Selangor II dalam Liga Perdana, pasukan Piala Presiden dan Piala Belia.
"Bagaimanapun pada musim ini, memang tidak ada campur tangan daripada Micheal membabitkan urusan pasukan utama kerana Satianathan berkuasa penuh ke atasnya. Cuma apabila perubahan perlu dibuat bagi musim depan, kita mahukan keseragaman daripada atas sehinggalah ke bawah.
"Apa yang boleh saya sahkan adalah bukan Micheal yang akan menjadi jurulatih pasukan utama nanti tetapi dia turut terbabit dalam urusan pasukan senior pada musim depan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan