Featured post

📆 Jadual perlawanan CIMB Liga Super dan Liga Premier musim 2020!#LigaMalaysiaKembali#CIMBLigaSuper2020#LigaPremier2020

📆 Jadual perlawanan CIMB Liga Super dan Liga Premier musim 2020! Untuk download,  https:// https:/U/ we.tl/t-O8tyMSagYQ Anda bole...

Jumaat, 21 Ogos 2020

Tidak rela pintu gol dibolosi - Diallo


PEMAIN import tinggi lampai Terengganu FC (TFC) kelahiran Dakar, Senegal, Babacar Diallo menegaskan dia tidak sanggup lagi melihat pintu golnya dibolosi lawan apabila pasukannya bakal bertarung dengan PJ City di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, (MBPJ), malam esok.
Baginya sembilan kali gawang pasukannya ditembusi masing-masing tiga jaringan ketika bertemu Perak, Kedah dan Selangor sudah cukup mengajar erti keperitan apatah lagi dia baharu musim ini menyarung jersi skuad Penyu itu menggantikan pertahanan dari Montenegro, Igor Zonjic.
Bagaimanapun pemain berketinggian 1.93 meter itu yang baharu tiga kali membuat penampilan bersama pasukan TFC akui skuadnya kini berada di landasan tepat untuk memberikan saingan sengit kepada lawan.
Bekas pemain kelab Kuopion Palloseura dalam Liga Finland itu menegaskan persiapan rapi dilakukan sejak dua bulan lalu termasuk lima aksi persahabatan menggambarkan pasukannya sudah bersedia untuk mengharungi baki lapan perlawanan Liga Super.
"Kami sudah bersedia sesudah berlatih sejak dua bulan lalu, malah kami juga begitu teruja untuk bertemu dengan PJ City selepas berehat panjang daripada beraksi dalam perlawanan sebenar.
"Sepanjang tempoh berlatih, pasukan kami berjaya melakukan yang terbaik untuk dapatkan keyakinan semula termasuk memantapkan taktikal dan keserasian antara pemain.
"Jadi saya lihat kami berada di landasan yang betul untuk kembali ke kancah bola sepak semula selain tidak sanggup lagi melihat pintu gol kami dibolosi pihak lawan terutama perlawanan pertama malam esok.
"Harapan saya tentunya mahukan kemenangan dan memperagakan aksi terbaik serta bertenaga dari setiap sudut, Insya-Allah kami komited dan bertekad akan meningkat dalam setiap perlawanan yang dilalui bagi memastikan impian pasukan kami tercapai," kata Diallo yang akui selesa bersama pasukan itu.
Sementara itu pengurus TFC Ahmad Shahrizal Yahya berkata, walaupun aksi pasukannya tanpa pemain sayap kelahiran Singapura, Muhammad Faris Ramli yang masih dalam tempoh kuarantin, beliau berkeyakinan pemain akan berusaha lebih keras untuk mencapai kemenangan.
"Selain mahukan pemain fokus 100 peratus dalam perlawanan itu biarpun tanpa Faris, kami turut mengharapkan peminat setia TFC mendoakan pemain mampu beraksi dengan baik untuk melakar kemenangan pertama selepas rehat panjang sebelum menanti kunjungan Sabah di Kuala Terengganu pada 29 Ogos ini," katanya.
Perlawanan kedua-dua pasukan sepatutnya berlangsung pada 14 Mac lalu iaitu dua hari sebelum Liga Malaysia (Liga M) ditangguhkan susulan pandemik Covid-19, namun pihak pengurusan PJ City gagal menyediakan stadium menyebabkan perlawanan ditangguhkan.
Berikutan itu pasukan The Phoenix dikenakan hukuman denda RM30,000 oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) kerana gagal menyediakan stadium.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan