SKUAD Terengganu FC (TFC) sudah bersedia daripada segi fizikal dan mental serta taktikal walaupun lebih lima bulan tidak beraksi dalam perlawanan sebenar akibat pandemik Covid-19 yang melanda dunia termasuk Malaysia.
Demikian reaksi pertahanan Terengganu FC (TFC), Arif Fadzilah Abu Bakar menjelang aksi Liga Super bertemu PJ City Sabtu ini di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Bekas pertahanan kiri kebangsaan itu bagaimanapun tidak mahu mengambil mudah serta terlalu yakin, sebaliknya tetap berwaspada dengan ancaman yang bakal diberikan anak buah K Devan itu.
Ariff, 24, yang pernah dilamar The Phoenix awal musim ini turut mengingatkan rakan sepasukan perlu bekerja lebih keras andai mahu mengutip tiga mata kerana lawan juga pasti tidak mahu berputih mata di laman sendiri.
"Pasukan kami sudah bersedia sepenuhnya dengan persediaan rapi yang dikendalikan jurulatih diketuai Nafuzi Zain.
"Jadi besar harapan kami untuk melakar kemenangan selepas lama berehat sekali gus memperbaiki kedudukan dalam saingan liga apatah lagi saingan hanya dilangsungkan secara pusingan pertama sahaja berikutan wabak pandemik Covid-19.
"Namun harus diingat lawan bukan pasukan yang mudah ditewaskan lebih-lebih lagi skuad itu diperkuatkan barisan penyerang berkualiti," katanya.
Skuad TFC yang berbaki lapan perlawanan lagi kini menghuni kedudukan kelapan liga dengan mengutip empat mata selepas masing-masing mencatat satu kemenangan menumpaskan Kedah 4-3, terikat 3-3 dengan Selangor dan tumpas 1-3 kepada Perak pada aksi pertama.
Berdasarkan rekod pada Mei musim lalu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, skuad TFC yang ketika itu dibimbing Irfan Bakti Abu Salim dikejutkan PJ City dengan kekalahan 5-3 biarpun mendahului 3-0. Susulan prestasi tidak konsisten skuad Penyu itu antara faktor Irfan Bakti meletak jawatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan