Lim berkata projek tersebut perlu digugurkan daripada senarai projek RT Pakatan Harapan (PH) yang diumumkan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz pada Rabu lepas.
KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng menjelaskan projek Rundingan Terus (RT) tayangan Piala Dunia FIFA 2018 yang bernilai RM29.9 juta tidak melibatkan wang kerajaan, sebaliknya menggunakan hasil jualan iklan dan tajaan.
Justeru, Lim berkata projek tersebut perlu digugurkan daripada senarai projek RT Pakatan Harapan (PH) yang diumumkan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz pada Rabu lepas.
"Sebaliknya kerajaan mendapat untung RM3.3 juta hasil iklan dan tajaan untuk siaran tersebut dan dimasukkan ke dalam akaun Kumpulan Wang Disatukan," kata Lim yang juga Setiausaha Agung DAP pada sidang media di sini hari ini.
Pada Rabu, Kementerian Kewangan mendedahkan senarai 101 projek yang bernilai RM6.61 bilion yang ditawarkan secara RT ketika pentadbiran PH, yang mana projek tayangan Piala Dunia FIFA 2018 turut tersenarai.
Justeru, Ahli Parlimen Bagan itu meminta Tengku Zafrul membetulkan perkara tersebut dengan mengeluarkan projek tayangan Piala Dunia FIFA daripada senarai berkenaan.
Semalam, dalam sidang media di Parlimen, Lim menafikan projek RT PH bernilai RM6.61 bilion sebaliknya nilai kesemua projek RT sepanjang pemerintahan kerajaan PH ialah sebanyak RM352 juta.
-- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan