Aksi Mohamadou Sumareh pada saingan suku akhir kedua Piala FA menentang Terengganu di Stadium Darul Makmur pada Mei 2019. - Foto NSTP/Farizul Hafiz Awan
PETALING JAYA: Apakah hukuman yang bakal menanti Mohamadou Sumareh selepas pemain sayap Pahang itu didapati ponteng latihan pasukan selama hampir sebulan?
Jika di Eropah, pemain berkelas dunia sekalipun tidak akan 'selamat' sebagai contoh Real Madrid yang mengenakan denda sebanyak 3,000 euro (RM14,800) kepada pemain yang tidak menghadiri sesi latihan pasukan La Liga itu.
Malah, bintang terkemuka dunia, Neymar juga pernah didenda sebanyak 375,000 euro (RM1.8 juta) kerana gagal menghadiri latihan pramusim selain Anthony Martial yang turut didenda 180,000 euro (RM892,000) kerana tidak kembali ke sesi latihan pada jelajah pramusim United di Amerika Syarikat.
Mengulas senario itu, pengurus skuad Tok Gajah, Datuk Mohammed Suffian Awang mengesahkan perkara itu akan dibawa ke pengurusan tertinggi Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) sebelum nasib pemain itu diputuskan nanti.
"Memang betul Sumareh tidak menghadiri latihan hampir sebulan dan masih juga tidak kelihatan pada hari perlawanan menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) semalam (kelmarin). Hal ini sudah dimaklumkan kepada pengurusan tertinggi dan kita akan membincangkan mengenai apa jenis tindakan yang bakal diambil nanti.
"Secara peribadinya, mungkin dia sudah tiada hati lagi dengan Pahang tetapi daripada segi hubungan kontrak itu, masih ada. Ketidakhadiran ini akan mengundang tindakan disiplin dan tindakan berikutnya boleh diambil PBNP kerana dia masih lagi pemain Pahang," katanya ketika ditemui pada Kongres Tahunan ke-56 Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) di sini, hari ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan