Featured post

📆 Jadual perlawanan CIMB Liga Super dan Liga Premier musim 2020!#LigaMalaysiaKembali#CIMBLigaSuper2020#LigaPremier2020

📆 Jadual perlawanan CIMB Liga Super dan Liga Premier musim 2020! Untuk download,  https:// https:/U/ we.tl/t-O8tyMSagYQ Anda bole...

Selasa, 25 Ogos 2020

Status JDT bukan penghalang - Sharbinee


PENJAGA gol Pahang, Sharbinee Allawee Ramli tidak terlalu memikirkan status Johor Darul Ta'zim (JDT) apabila kedua-dua pasukan itu bertemu di Stadium Darul Makmur, Jumaat ini.
Ini kerana misi utama bekas penjaga gol kebangsaan itu bersama rakan sepasukan adalah membantu skuad Tok Gajah mengutip tiga mata di halaman sendiri.
"Daripada memikirkan status JDT yang sememangnya diketahui umum memiliki barisan pemain berkualiti, Pahang juga memiliki barisan pemain berkualiti dan berpengalaman.
"Sebab itu saya bersama rakan hanya perlu fokus dan mempamerkan prestasi terbaik pada perlawanan itu nanti selepas saingan Liga Malaysia (Liga M) berehat panjang sejak Mac lalu.
"Segala-galanya akan diterjemahkan pada perlawanan selepas lebih sebulan kembali menjalani latihan termasuk beraksi dalam dua perlawanan persahabatan sebagai aksi pemanas badan," katanya.
Mengulas komitmen skuad Tok Gajah, dia gembira kerana semua pemain mempamerkan komitmen tinggi untuk meletakkan skuad itu pada kedudukan terbaik.
"Sudah pasti kami mahu menang pada setiap perlawanan dan komitmen serta persefahaman akan membantu membentuk pasukan yang mantap.
"Saya percaya dengan sokongan daripada peminat walaupun mereka tidak dapat bersama di stadium untuk memberikan sokongan, kata-kata semangat dan doa akan mengiringi pada setiap perlawanan," katanya.
Sharbinee juga mengakui begitu teruja untuk mengembalikan keyakinan selepas berdepan penularan wabak Covid-19 hingga liga terpaksa ditangguhkan.
Katanya, selepas kembali menjalani latihan pada awal Julai lalu, semangat dan kesungguhan dalam mempertingkatkan kemahiran dan tahap kecergasan begitu tinggi.
"Boleh dikatakan bahawa saya sudah cukup bersedia sambil dibantu rakan dan barisan pegawai dan kejurulatihan," katanya.
Sebelum saingan Liga M ditangguhkan pada Mac lalu, Sharbinee menjadi sandaran utama jurulatih, Dollah Salleh selaku penjaga gol utama.
Pada empat perlawanan Liga Super, penjaga gol berpengalaman itu membantu Pahang berada di kedudukan keempat liga dengan mengutip enam mata.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan