Featured post

📆 Jadual perlawanan CIMB Liga Super dan Liga Premier musim 2020!#LigaMalaysiaKembali#CIMBLigaSuper2020#LigaPremier2020

📆 Jadual perlawanan CIMB Liga Super dan Liga Premier musim 2020! Untuk download,  https:// https:/U/ we.tl/t-O8tyMSagYQ Anda bole...

Rabu, 26 Ogos 2020

Siap juga. Bacaan lunch hour untuk semua.



Kenali Portimonense SC, Kelab Portugal Yang Mahu Memikat Safawi

Portimonense SC adalah kelab yang asing bagi kebanyakkan kita sehingga kelab Portugal itu dikaitkan dengan pemain sayap pasukan negara, Safawi Rasid.
Pemenang Anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) negara dua musim berturut-turut sebelum ini, Safawi Rasid dilaporkan telah menarik minat kelab Primeira Liga Portugal, Portimonense Sporting Club.
Perkhabaran tersebut pada mulanya disiarkan oleh media di Portugal melalui portal ojogo, sebelum ianya disahkan sendiri oleh Pengarah Sukan JDT, Martin Prest dalam satu kenyataan lewat petang semalam.
Berikut adalah lima perkara mengenai Portimonense SC yang perlu anda tahu.

1. Kelab sukan di Portugal

Sepertimana kebanyakkan kelab bola sepak di Eropah, Portimonense SC sebenarnya merupakan sebuah kelab sukan yang berpengkalan di sebuah bandar bernama Portimao yang terletak di wilayah dikenali sebagai Algarve di selatan Portugal.
Ini bermakna Portimonense SC turut mentadbir beberapa cabang sukan yang lain seperti bola keranjang yang popular di wilayah tersebut, selain daripada kelab bola sepak profesional.
Portimonense SC mempunyai sejarah panjang di dalam sejarah sukan Portugal apabila ditubuhkan pada 14 Ogos 1914. Kelab ini juga dimiliki oleh penyokong mereka sendiri.
Stadium Perbandaran Portimao yang mempunyai kapasiti 9,544 adalah gelanggang tuan rumah buat kelab bola sepak Portimonense SC.

2. Perlawanan derbi dan ultras

Seperti kebanyakan kelab bola sepak di Eropah yang sudah lama wujud, Portimonense turut mempunyai seteru setempat.
Seteru utama Portimonense di saingan bola sepak domestik ialah S.C Farense, sebuah kelab bola sepak yang turut berada di dalam wilayah Algarve di selatan Portugal.
Selain daripada saingan sengit di dalam padang, pertemuan kedua-dua pasukan turut sering dihiasi oleh kemeriahan yang dihadiri oleh kumpulan penyokong ultras masing-masing.
Jika JDT ada Boys of Straits (B.O.S), Portimonense pula mempunyai Ultras Marafados yang sentiasa berada di belakang pasukan memberikan sokongan.

3. Paulo Sergio

Portimonense SC dilatih oleh Paulo Sérgio Bento Brito, atau lebih dikenali sebagai Paulo Sergio.
Jurulatih berusia 52 tahun ini juga merupakan seorang penyerang ketika era sebagai pemain, namun kebanyakkan aksinya adalah bersama kelab-kelab Segunda Divison (Divisyen 2 Liga Portugal).
Paulo Sergio hanya dilantik selaku Ketua Jurulatih Portimonense SC pada Februari tahun ini, dan pada ketika kelab tersebut bergelut di kedudukan kedua terakhir liga.
Walaupun berjaya meningkatkan prestasi pasukan, Paulo Sergio sebenarnya gagal mengekalkan Portimonense SC untuk kekal beraksi di Primiera Liga untuk musim akan datang.

4. Portimonense SC bernasib baik

Secara merit, Portimonense SC sepatutnya disingkirkan ke Segunda Liga selepas menamatkan saingan di kedudukan ke-17 daripada 18 pasukan bertanding pada musim lalu.
Namun demikian, kelab tersebut dikekalkan divisyen oleh penganjur setelah Vitoria de Setubal dan RD Alves dikenakan hukuman akibat gagal melengkapkan dokumen pendaftaran kewangan dan perundangan khusus untuk pertandingan musim 2020/21.
Benar. Sama saja di saingan Liga Malaysia, kelab-kelab di Eropah juga ada yang culas dengan perkara berkenaan pendaftaran, dokumentasi dan perlesenan.
Vitoria sebelum itu memastikan diri kekal di Primiera Liga setelah mengakhiri musim dengan kelebihan satu mata ke atas Portimonense.

5. Pemain Asia ke-4

Safawi Rasid bukanlah pemain dari Asia pertama yang akan menyertai kelab Portugal itu pada musim ini.
Dan Safawi juga berkemungkinan akan menemui wajah yang beliau pernah hadapi ketika bersama JDT di saingan AFC Champions League (AFC) pada musim lalu.
Selain daripada Safawi, Portimonense turut telah mengikat dua pemain Jepun pada tahun lalu, iaitu pemain kebangsaan Jepun dan bekas bek kiri Kashima Antlers, Koki Anzai.
Anzai beraksi dalam kedua-dua perlawanan menentang JDT, iaitu ketika Kashima menang ke atas wakil negara 2-1 di Stadium Kashima, dan ketika JDT mengejutkan bekas juara Asia itu di Larkin selepas itu.
Beraksi sebagai bek kiri, Anzai jelas tahu akan kemampuan Safawi yang beraksi di sebelah kanan sayap JDT. Seorang lagi pemain dari Jepun yang beraksi bersama Portimonense ialah penjaga gol, Shuici Gonda.
Seorang lagi pemain Jepun, Shoya Nakajima turut pernah menyarung jersi Portimonense namun kini beraksi bersama Porto.

Penutup

Pasukan tersebut kini sedang giat mempersiapkan barisan pemainnya untuk musim baharu yang bakal bermula pada 20 September hadapan.
Bagaimanapun berdasarkan kenyataan pemilik JDT, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim (TMJ), Safawi hanya akan menyertai kelab Portugal tersebut selepas saingan liga pada musim ini berakhir.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan