Featured post

📆 Jadual perlawanan CIMB Liga Super dan Liga Premier musim 2020!#LigaMalaysiaKembali#CIMBLigaSuper2020#LigaPremier2020

📆 Jadual perlawanan CIMB Liga Super dan Liga Premier musim 2020! Untuk download,  https:// https:/U/ we.tl/t-O8tyMSagYQ Anda bole...

Sabtu, 1 Ogos 2020

Persembahan pemain Kedah dijangka terjejas

Kemelut kewangan yang sedang melanda Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) dilihat mampu memberi impak buruk kepada persembahan pemain. - Foto fail NSTP
KUALA LUMPUR: Kemelut kewangan yang sedang melanda Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) dilihat mampu memberi impak buruk kepada persembahan pemain apatah lagi saingan Liga Malaysia (Liga M) akan kembali bersambung 26 Ogos ini.
Berdepan hutang lebih RM10 juta dan tunggakan gaji selama lima bulan, kegusaran timbul sama ada pemain benar benar sudah bersedia sepenuhnya untuk kembali 'menendang bola' ketika masih dibelenggu masalah terbabit yang pasti mempengaruhi kehidupan mereka.
Jika ia berterusan dan gagal diselesaikan sehingga Liga M bersambung semula, tidak mustahil prestasi Kedah boleh 'ke laut' kerana semangat pemain sudah luntur apabila mereka seakan tidak dihargai pihak pengurusan.
Mengulas mengenai perkara itu, bekas jurulatih Kedah, Wan Jamak Wan Hassan melihat situasi sedang melanda skuad Lang Merah itu sudah pasti sedikit sebanyak boleh mengganggu prestasi dan rentak pemain sekali gus menjejaskan peluang pasukan itu yang sebelum ini dilabel mampu menjadi pencabar kejuaraan musim ini.
"Masalah ini pasti memberi kesan kepada prestasi pemain sebab kita pun tahu mereka ada tanggungjawab dan komitmen masing masing. Kita pun kalau bekerja berbulan-bulan tetapi tidak dibayar, pasti kita pun rasa tak sedap.
"Begitu jugalah dengan apa yang dilalui pemain Kedah ketika ini. Jadi pihak yang bertanggungjawab perlu mengambil berat mengenai perkara ini dan saya percaya mereka akan berusaha sebaik mungkin untuk menyelesaikan masalah ini," katanya.
Terdahulu, kemaskini beberapa pemain Kedah di laman media sosial tampak seakan memberi petanda betapa mereka sudah hilang semangat untuk meneruskan baki saingan musim ini selepas tidak dibayar gaji selama lima bulan.
Pemain import dari Brazil, Renan Alves membayangkan kemungkinan dia dan rakan sepasukan lain akan turut beraksi secara 'ala kadar' dalam baki saingan liga musim ini kerana sikap pengurusan yang dilihat seolah berpura-pura dalam menyelesaikan masalah tunggakan gaji amat mengecewakan.
"Mereka (KFA) berpura-pura untuk bayar, kami berpura-pura untuk bermain. Sudah lima bulan dan saya terpaksa hadap semua ini," katanya..
Selain itu, penjaga gol pasukan, Mohd Ifwat Akmal Chek Kassim menganggap krisis tunggakan gaji yang membelenggu KFA umpama drama Sepanyol, La Casa De Papel.
"Seronok cerita ini, trending nombor satu," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan