Featured post

📆 Jadual perlawanan CIMB Liga Super dan Liga Premier musim 2020!#LigaMalaysiaKembali#CIMBLigaSuper2020#LigaPremier2020

📆 Jadual perlawanan CIMB Liga Super dan Liga Premier musim 2020! Untuk download,  https:// https:/U/ we.tl/t-O8tyMSagYQ Anda bole...

Ahad, 2 Ogos 2020

PERLAWANAN PERSAHABATAN DIBENARKAN BERMULA HARI INI MFL mengumumkan bahawa pasukan-pasukan CIMB Liga Super dan Liga Premier telah dibenarkan untuk mengadakan perlawanan pemanas badan atau persahabatan. #LigaMalaysia2020

PERLAWANAN PERSAHABATAN DIBENARKAN BERMULA HARI INI
Malaysian Football League (MFL) mengumumkan bahawa pasukan-pasukan CIMB Liga Super dan Liga Premier telah dibenarkan untuk mengadakan perlawanan pemanas badan atau persahabatan sebagai persiapan awal untuk menyambut aksi Liga Malaysia yang bakal bersambung pada 26 Ogos depan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan, keputusan membenarkan perlawanan persahabatan itu selaras kenyataan MFL sebelum ini di mana setiap pasukan perlu berada dalam tempoh bertenang bermula 29 Julai sehingga semalam.
Kata Dato’ Ab Ghani, tempoh bertenang itu menjadi penilaian penting buat MFL bagi memantau keadaan setiap pegawai dan pemain pasukan selepas sesi Latihan Kontak Fizikal dibenarkan bermula pada 15 sehingga 28 Julai lalu sebagai usaha memastikan tiada individu terlibat dengan wabak COVID-19 dan tiada laporan daripada pasukan berhubung adanya gelaja COVID-19 dalam kalangan pegawai dan pemain.
Jelas lagi Dato’ Ab Ghani, perlawanan persahabatan itu hanya dibenarkan kepada pasukan berstatus CIMB Liga Super dan Liga Premier sahaja selain hanya beraksi di venue yang telah menjalani proses nyahkuman dan disinfeksi sebelum perlawanan pemanas badan itu diadakan.
“Tempoh bertenang ini adalah bagi penilaian dan pemantauan bagi memastikan tahap kesihatan semua pegawai dan pemain masih baik setelah 14 hari tempoh Latihan Berkontak Fizikal dibenarkan tetapi Latihan Pasukan masih dibenarkan sepanjang tempoh ini.
“Pasukan hanya dibenar untuk mengadakan perlawanan di antara pasukan- pasukan CIMB Liga Super 2020 dan Liga Premier 2020 yang mana pegawai dan pemain pasukan-pasukan tersebut telah menjalani Ujian Calitan (Swab Test) dan telah disahkan bebas gejala dan telah mendapat kelulusan MFL atau dengan pasukan-pasukan yang mereka telah bertemu di perlawanan di peringkat awal sebelum Liga Malaysia ditangguhkan.
“Perlawanan hanya dibenar diadakan di dalam stadium atau venue perlawanan sahaja di mana gelanggang perlawanan tersebut hendaklah didaftarkan di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
“Stadium-stadium tersebut hendaklah menjalani proses nyahkuman dan disinfeksi sebelum perlawanan diadakan.
“Perlawanan tersebut hendaklah dimainkan tanpa penonton di mana hanya pegawai dan pemain pasukan yang berdaftar dan telah menjalani Ujian Calitan (Swab Test) sahaja dibenar berada di dalam stadium atau venue perlawanan,” katanya dalam satu kenyataan rasmi hari ini.
Sementara itu, Dato’ Ab Ghani mengesahkan beberapa pasukan telah menghantar permohonan dan makluman perlawanan persahabatan.
“Pasukan terawal yang mengadakan perlawanan persahabatan adalah di antara Selangor menentang Pulau Pinang di Pusat Latihan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) pada Rabu ini.
“Kemudian disusuli aksi persahabatan UiTM FC menentang Pulau Pinang di Stadium UiTM Shah Alam dan Kelantan United FC menentang Terengganu FC II (TFC II) di Stadium Sultan Mohamad Ke-IV, Kota Bharu di mana kedua-dua perlawanan itu berlangsung pada 7 Ogos ini,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Dato’ Ab Ghani mendedahkan status Kuching FA berada dalam keadaan terkawal selepas lima pemain mereka didapati positif COVID-19 berpunca daripada Kluster Sentosa.
Jelas Dato’ Ab Ghani, MFL sentiasa memantau keadaan Kuching FA sehingga mendapat kelulusan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Kuching, Sarawak bagi tujuan kelulusan untuk mengadakan perlawanan persahabatan.
“Buat masa ini keputusan untuk kelima-lima pemain sudah negatif ketika diambil di hospital tempoh hari dan mereka sudah dipindahkan dari hospital ke Kompleks Belia dan Sukan di Kuching, Sarawak.
“Pihak hospital akan membuat pemantauan dari sana dan mereka akan dikuarantinkan selama 14 hari.
“Bagi pemain dan pemain yang lain, kesemuanya didapati negatif untuk Ujian Calitatan (Swab Test) yang pertama dan ujian kedua akan dibuat esok sehingga Khamis depan di mana kesemua pegawai dan pemain akan tamat kuarantin pada 7 Ogos ini.
“Sementara itu, MFL dapat mengesahkan bahawa sifar kes berkaitan dengan pemain Kedah FA di mana pemain itu didapati bebas dari COVID-19 dan telah dicaj keluar dari hospital pada 31 Julai lalu,” katanya.
Terdahulu, MFL telah mengumumkan Liga Malaysia 2020 kembali bersambung pada 26 Ogos depan selepas ditangguhkan sejak 16 Mac lalu disebabkan pandemik COVID-19.
Keputusan menerusi persetujuan Ahli Lembaga Pengarah MFL itu dicapai selepas menilai banyak faktor termasuk tempoh persiapan pasukan-pasukan bertanding dalam memastikan kualiti Liga Malaysia lebih kompetitif dan berkualiti biarpun pihak kerajaan Malaysia telah membenarkan kejohanan kontak fizikal tanpa kehadiran penonton bermula 15 Ogos ini.
Sementara itu, Dato’ Ab Ghani mengingatkan supaya kesemua pasukan mematuhi Standard Operasi Prosedur (SOP) yang telah ditetapkan oleh MFL ketika beraksi di dalam gelangang manakala SOP KKM ketika berada di luar venue dalam usaha memutuskan rantaian pandemik COVID-19.
“Nasihat saya adalah kesemua pasukan harus mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh MFL ketika menjalani sesi latihan atau bermain sukan kontak fizikal.
“Tidak dilupakan juga SOP KKM dengan mengamalkan memakai pelitup muka dan penjarakan fizikal di mana kita semua tidak boleh alpa atau leka kerana pemain serta pegawai sekarang adalah ‘frontliner’ untuk Liga Malaysia dan bersama kita melawan COVID-19,” katanya.

Imej

Tiada ulasan:

Catat Ulasan