PERSATUAN Bolasepak Perak (PAFA) antara persatuan yang bergerak aktif dalam melengkapkan proses penswastaan kelab menjelang tarikh akhir ditetapkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada September ini.
Pengerusi Jawatankuasa Khas Bolasepak Profesional Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Mohd Firdaus Mohamed mendedahkan, menjelang pertengahan September ini, PAFA akan selesai pertukaran status ke pasukan bola sepak (FC) bagi musim depan.
"Perak antara yang cepat dan bersungguh untuk selesaikan penswastaan, kesemua dokumen yang diperlukan telah lengkap dan hanya menunggu untuk diproses mengikut prosedur yang kita tetapkan.
"Mereka antara negeri yang paling proaktif dalam memastikan proses penswastaan dan juga pemisahan FA ke FC diselesaikan," katanya selepas menerima kunjungan delegasi PAFA yang diketuai Timbalan Presiden PAFA, Datuk Adly Shah Ahmad Tah.
Hadir sama dalam kunjungan itu, Naib Presiden PAFA 1, Datuk Muhammad Yadzan Mohammad dan Setiausaha Kehormat PAFA, Mohamed Helmi Mohamed.
FAM sebelum ini menegaskan pasukan yang gagal melakukan pemisahan FA ke FC tidak dibenarkan menyertai Liga Super atau Liga Perdana musim depan sebaliknya akan diturunkan ke Liga Amatur iaitu Liga M3.
Sementara itu, Adly Shah ketika ditemui berkata, pihaknya optimis terhadap pertukaran itu kerana PAFA komited untuk melakukannya.
"Alhamdulillah FAM telah beri jaminan proses penswastaan kelab untuk Perak akan selesai tidak lama lagi, kita telah bentangkan segala dokumen yang diperlukan dan mereka berpuas hati.
"Insya Allah akan selesai dalam masa terdekat dan setakat ini semuanya berjalan lancar, Perak FA akan bertukar wajah menjadi FC sebelum tarikh akhir yang ditetapkan badan induk bola sepak negara kita," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan