Beberapa faktor menarik yang dimiliki oleh pasukan UiTM FC dan Kuala Lumpur dilihat oleh pemerhati bola sepak sebagai mampu untuk menjadi daya penarik buat jutawan kosmetik terkenal, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida untuk membeli salah sebuah daripada dua pasukan tersebut.
Sebagai sebuah pasukan berada di tengah-tengah ibu kota [Kuala Lumpur] serta menjadi kelab dengan kumpulan sasarnya terdiri daripada pelajar universiti [UiTM FC] menjadi antara kekuatan yang mungkin dapat menarik minat pengasas Vida Beauty Sdn Bhd itu.
Pendapat itu disuarakan oleh pemerhati bola sepak yang juga merupakan Pensyarah Kanan Sains Kejurulatihan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Zulakbal Ab Karim menurut laporan dikeluarkan Berita Harian (BH) Online.
Dr Zulakbal turut melihat Datuk Seri Vida boleh menggunakan kesempatan dengan membeli pasukan tersebut sekaligus dapat mewujudkan peluang perniagaan dengan lebih luas terhadap jenama terkenalnya itu.
“Kalau kita tengok menerusi penajaannya sebelum ini khususnya membabitkan program hiburan yang mendapat sambutan hangat, dia sentiasa mahukan sesuatu yang ‘trendy’ dan saya lihat Kuala Lumpur ada faktor ini.”
“Dengan pasukan yang berpusat di ibu kota, sudah tentu kalau dia membeli pasukan Kuala Lumpur, dia dapat memanfaatkan sepenuhnya peluang perniagaan yang ada. Bolehlah dia buat misi serampang dua mata iaitu sambil beli pasukan sambil berniaga.”
“Selain itu, UiTM FC juga ada faktor yang sama. Walaupun tiada penonton tetapi mereka memiliki khalayak yang besar (mass audience) membabitkan pelajar dan kakitangannya serta kampus di seluruh negara.”
“Bayangkan berapa banyak fakulti yang ada dan lebih 200,000 pelajar di seluruh negara, berapa besarkah peluang perniagaan dan kerjasama strategik yang boleh Vida dapat?,” ujar Dr Zulakbal.
Sejajar dengan Projek Penswastaan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Vida mengakui beliau telah merisik beberapa pasukan dalam saingan Liga Malaysia yang berpotensi untuk dimilikinya.
Vida Beauty Sdn Bhd pernah terlibat secara langsung dalam kancah bola sepak tempatan apabila menjadi penaja buat pasukan Kelantan pada musim 2016.
Baca artikel lain dari kami mengenai ahli perniagaan dalam bola sepak:
Tiada ulasan:
Catat Ulasan