BIARPUN tanpa kelibat penyerang utamanya, Antonio Timothy German yang sehingga kini belum bersama pasukan, ketua jurulatih PDRM, Mohamad Ishak Kunju Mohamad tidak panik apabila pasukannya bakal berdepan Kedah pada aksi Liga Super di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras malam esok.
Jurulatih yang baharu musim pertama membimbing pasukan Liga Super menjelaskan dua pemain tempatan mampu menjadi 'senjata' pemusnah untuk merobek kubu skuad Lang Merah itu.
"Biarpun tanpa German, kem pasukan tidak begitu resah kerana dua pemain iaitu Muhamad Erwan Ismail dan Muhamad Khaizuran Putera mampu mengisi kekosongan posisi yang ditinggalkan pemain itu.
"Malah ketika sesi latihan dan perlawanan persahabatan, dua pemain ini berjaya menunjukkan peningkatan, begitu juga pemain lain, situasi ini sudah tentu memberikan impak yang positif kepada pasukan," katanya yang menyerahkan kepada pihak pengurusan memutuskan status German yang dipercayai masih berada di negaranya, England.
Bercakap mengenai persiapan pasukannya yang bermula lewat, jurulatih berusia 48 tahun itu tidak mahu memikirkan perkara itu sebaliknya akui pemainnya sudah bersedia untuk mengharungi baki saingan liga termasuk bertemu Kedah.
"Pemain kita sudah bersedia melayani kunjungan Kedah, lagipun sebelum pemain dibenarkan berlatih di padang, mereka sentiasa melakukan latihan sendirian yang dipantau melalui penghantaran video, jadi itu tidak ada masalah.
"Tapi kami lebih selesa dilabel pasukan 'underdog' walaupun beraksi di tempat sendiri, lagipun kami tahu kekuatan pasukan Kedah yang mempunyai tonggak import yang baik begitu juga dengan pemain tempatan," katanya.
Mengenai kecederaan hamstring tahap dua yang dialami penjaga utamanya, Bryan See, jurulatih itu berkata, ianya tidak menjejaskan persiapan pasukan kerana dua lagi penjaga gol tidak kurang hebatnya.
"Kita ada Mohamad Farzly Muhamad dan Willfred Jabun untuk mengawal benteng terakhir, jadi kita akan putuskan siapa yang bakal disenaraikan dalam kesebelasan utama kerana prestasi kedua-dua pemain berkenaan semakin meningkat," kata Ishak yang juga gembira apabila dua tonggak importnya, Shohrat Soyunov dan Serdar Geldiyev berada pada tahap prestasi terbaik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan