Featured post

📆 Jadual perlawanan CIMB Liga Super dan Liga Premier musim 2020!#LigaMalaysiaKembali#CIMBLigaSuper2020#LigaPremier2020

📆 Jadual perlawanan CIMB Liga Super dan Liga Premier musim 2020! Untuk download,  https:// https:/U/ we.tl/t-O8tyMSagYQ Anda bole...

Sabtu, 22 Ogos 2020

MSL 2020: Dua Gol Menarik Dominique Da Sylva 'Jerat' PJ City FC

Imej

Terengganu FC membuka kembali saingan Liga Super Malaysia (MSL) 2020 dengan nota kemenangan selepas berjaya menundukkan Petaling Jaya (PJ) City FC 2-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), sebentar tadi.
Perlawanan ini merupakan aksi keempat buat kedua-dua pasukan berikutan kegagalan PJ City untuk menyediakan gelanggang perlawanan sebelum kempen liga terpaksa dihentikan susulan wabak COVID-19 yang melanda.
Kemenangan tersebut menyaksikan Terengganu FC menaiki tangga ketiga dengan tujuh mata, ketinggalan dua tiga mata di belakang pendahulu liga, Johor Darul Ta’zim (JDT).
Peledak berbisa Terengganu FC, Dominique Da Sylva nyata mencuri tumpuan pada perlawanan ini apabila beliau menghasilkan dua jaringan menarik dalam membantu kelab tersebut mencatatkan kemenangan kedua musim ini.
Berehat panjang tanpa sebarang perlawanan kompetitif tampak sedikit menganggu aksi kedua-dua pasukan yang kelihatan kurang selesa untuk melakukan serangan walaupun masih terdapat gerakan menarik dapat dihasilkan.
Washington Brandao mendapat peluang terbaik untuk membuka tirai jaringan seawal minit kelapan apabila beliau merampas bola dari kaki Lee Tuck dan kemudiannya meluru pantas ke kubu Terengganu FC.
Percubaan rendah dilakukannya ketika sudah pun melepasi kawalan pertahanan TFC bagaimanapun berjaya dinafikan penjaga gol, Mohd Shamirza Yusoff menggunakan kaki kirinya.
Ketika pasukan tuan rumah dilihat lebih menguasai permainan, Da Sylva menggunakan kederasan larian yang dimiliki untuk meninggalkan tiga pertahanan PJ City FC secara solo dari tengah padang lalu berjaya menewaskan Ahmad Syihan Hazmi bagi memberikan kelebihan buat skuad kendalian Nafuzi Zain itu.
Memasuki babak kedua, TFC terus menggandakan asakan menerusi Syafik Ismail yang meledakkan rembatan dari luar kawasan penalti tetapi rembatannya ditangkap kemas Syihan pada minit ke-61.
Dominique Da Sylva terus membuktikan kehebatannya apabila beliau yang menerima umpanan cantik daripada Faiz Nasir dengan tenang melakukan percubaan lambung untuk sekali lagi menewaskan penjaga gol kelahiran Kelantan tersebut.
Tersentak dengan dua jaringan itu, anak buah K. Devan berusaha keras untuk merapatkan defisit jaringan tetapi semuanya masih belum cukup untuk menghalang kemenangan 2-0 dinikmati TFC pada perlawanan ini.
Kredit featured imageTerengganu FC

Tiada ulasan:

Catat Ulasan