Featured post

📆 Jadual perlawanan CIMB Liga Super dan Liga Premier musim 2020!#LigaMalaysiaKembali#CIMBLigaSuper2020#LigaPremier2020

📆 Jadual perlawanan CIMB Liga Super dan Liga Premier musim 2020! Untuk download,  https:// https:/U/ we.tl/t-O8tyMSagYQ Anda bole...

Selasa, 25 Ogos 2020

Melaka United mahu segera keluar dari zon bahaya


Barisan pemain Melaka United giat berlatih sebagai persediaan menghadapi Liga-M.

PENGENDALI Melaka United (MU), Zainal Abidin Hassan mengakui kedudukan pasukannya dalam saingan CIMB Liga Super berada dalam bahaya selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengenakan hukuman pemotongan tiga mata.

Menurut Zainal Abidin, misi utamanya apabila saingan Liga Malaysia (Liga-M) bersambung semula adalah memperbaiki kedudukan skuad Hang Jebat itu supaya tidak terus berada dalam zon penyingkiran.

“Pada mulanya kami berada di tangga ketiga, tetapi selepas ditolak mata terus turun ke tangga ke-11. Jadi ia memang kedudukan bahaya dan menjadi sasaran utama saya untuk bawa pasukan keluar daripada kedudukan tersebut.

“Ia bermakna baki tujuh perlawanan ini amat mustahak dan tugas saya untuk memastikan kami berada di kedudukan selamat dan cuba meraih sebanyak mata dalam setiap perlawanan,” katanya kepada Sinar Harian semalam.Melaka United dikenakan hukuman pemotongan tiga mata susulan kegagalan pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) membayar baki ansuran tunggakan gaji pemain dan pegawai mengikut jadual ditetapkan.

Situasi itu menyaksikan Melaka United yang meraih enam mata hasil dua kemenangan daripada empat perlawanan awal sebelum Liga-M ditangguhkan akibat pandemik Covid-19 pertengahan Mac lalu kini terperosok ke tangga ke-11 CIMB Liga Super.

Dalam pada itu, Zainal Abidin turut berpuas hati dengan persembahan yang ditunjukkan barisan pemainnya dalam tiga aksi persahabatan yang telah dilalui mereka setakat ini.

“Daripada satu perlawanan kepada satu perlawanan, saya lihat ada peningkatan walaupun masih lagi nampak kesilapan yang perlu diperbaiki sebelum saingan liga bermula nanti,” jelasnya.

Dalam tiga aksi persahabatan yang dilalui, Melaka United menang 3-0 ke atas Polis Diraja Malaysia (PDRM); menewaskan UiTM FC 1-0 dan membelasah Felda United 4-0.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan