Aksi persahabatan antara skuad B-19 menentang Selangor II.
KUALA LUMPUR: Dua kekalahan besar dialami skuad bawah 19 tahun negara (B-19) tidak mencerminkan kemampuan sebenar pasukan itu menjelang Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2020 di Uzbekistan, Oktober ini.
Pengendalinya, Brad Maloney mengakui anak buahnya masih lagi mencari rentak dan menegaskan dia tidak perlu menekan butang panik selepas menyaksikan perkembangan positif yang diperagakan barisannya.
"Dua keputusan perlawanan persahabatan ini tidak mengganggu kami kerana ia sebahagian daripada proses pembelajaran.
"Menerusi perlawanan persahabatan ini, kami memberi peluang kepada pemain untuk tunjukkan apa yang mereka peroleh ketika sesi latihan untuk dibawa ke dalam perlawanan.
"Mereka cuba bermain dan mereka mahu bermain. Kami dapat lihat mereka beraksi dalam tekanan menentang pasukan senior, jadi ini satu pendedahan yang baik untuk mereka," katanya.
Kelmarin, skuad B-19 tewas 4-0 di tangan pasukan Liga Perdana, Selangor II pada aksi di Pusat Latihan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), kira-kira seminggu selepas mereka dibelasah 6-1 pasukan Liga Super, PJ City.
Dalam masa sama, Maloney menjelaskan pemainnya juga masih cuba menyesuaikan diri dengan strategi dan pendekatannya namun dia jelas berpuas hati dengan penerimaan yang ditunjukkan anak buahnya.
"Kami dapat lihat petanda di mana beberapa pemain sudah dapat laksanakan apa yang kami mahu lakukan. Bagus juga dapat melihat beberapa pemain menyesuaikan diri dengan perubahan dan boleh bermain di beberapa posisi.
"Ini satu petunjuk positif tetapi kami masih jauh lagi. Kami masih lagi bekerja keras untuk mencari skuad akhir dan perlu menilai semua aspek selepas kem latihan ini berakhir sebelum mula merangka program untuk langkah yang seterusnya.
"Buat masa ini, kami teruskan latihan seperti biasa dan akan cuba mendapatkan satu atau dua lagi perlawanan persahabatan. Perlawanan persahabatan akan memberikan ruang untuk bertambah baik," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan