
Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi
IPOH: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) optimis Kluster Sivagangga yang mungkin menyebabkan beberapa kawasan di Kedah berdepan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) tidak akan mengganggu perancangan mereka untuk meneruskan saingan liga pada 26 Ogos ini seperti yang dirancang.
Ahli Lembaga Pengarah MFL, Datuk Mohd Yusoff Mahadi tidak melihat situasi itu mampu memberi masalah untuk perlawanan dilangsungkan kerana semua prosedur operasi standard (SOP) pertandingan seperti yang ditetapkan sudah dipatuhi oleh semua pasukan.
"(Kluster Sivagangga) tidak menjejaskan, setakat ini kalau bermain, kita tidak ada masalah kerana semua pemain ini sudah membuat ujian calitan dan jika hendak mengadakan perlawanan persahabatan juga, kita membenarkan pasukan yang sudah melalui proses ini (ujian calitan).
"Kita juga tidak secara tiba-tiba mengambil pasukan dari luar yang tidak melalui saringan ini, jadi sebenarnya dari segi pertandingan itu SOP sudah cukup dan tidak akan terganggu.
"Setakat ini Liga Malaysia berada pada landasan yang baik untuk diteruskan dan kita berharap kesemua pasukan bersedia menghadapi perlawanan," katanya pada sidang media selepas merasmikan Kongres Tahunan Kali Ke-62 dan Kongres Luar Biasa Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) 2020 di Hotel Casuarina Meru, di sini, hari ini.
Dalam perkembangan sama, Yusoff yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan tiada lagi kes membabitkan pasukan atau pemain dalam kategori yang sudah menjalani saringan seperti yang ditetapkan.
"Setakat ini kita membenarkan pemain dan pasukan yang sudah disaring sahaja yang bermain sesama sendiri dan tidak membabitkan orang luar," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan