Aksi pemain Kedah dan Pulau Pinang pada perlawanan persahabatan di Stadium Darul Aman, malam tadi. - FOTO FB KEDAH FA
ALOR SETAR: Ketua jurulatih Pulau Pinang, Manzoor Azwira berharap kejayaan skuad kendaliannya bangkit menewaskan Kedah 3-2 pada aksi persahabatan malam tadi mampu menyuntik semangat anak buahnya menjelang aksi Liga Perdana, minggu depan.
Beliau mengakui kemenangan di gelanggang keramat Lang Merah itu memberi harapan dan kemenangan moral dalam misi skuad Harimau Kumbang melayakkan diri ke saingan Liga Super musim depan.
"Kemenangan ini bukan satu benda yang diharapkan sangat, cuma kita lebih fokus kepada tahap kecergasan dan persefahaman dalam kalangan pemain dan masih lagi ada lagi ruang-ruang yang perlu diperbaiki kerana kita sudah lama tinggal perlawanan yang kompetitif seperti ini.
"Tapi bila mencapai kemenangan, saya pasti ia akan menaikkan moral pasukan dan pemain akan rasa lebih bersemangat kerana dalam bola sepak kita perlukan prestasi yang sentiasa konsisten.
"Persiapan kami kini baru mencapai tahap 80 peratus sebab pemain pun agak masih kekok selepas lama tidak beraksi dan ini salah satu perkembangan yang kita cuba tingkatkan lagi dari segi kualiti dalam permainan," katanya.
Manzoor berpendapat selain pasukan 'feeder', skuad Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan juga mampu memberi tentangan sengit buat Harimau Kumbang, selain Kelantan yang mampu menghasilkan kejutan.
"Pulau Pinang kini berada pada kedudukan ketiga dan jumlah mata setiap pasukan terlalu hampir.
Ia bukan satu perkara yang kita terlalu yakin untuk layak ke Liga Super, kerana kita hanya ada tujuh perlawanan dan semua perlawanan itu sangat penting dan kita tak boleh lepaskan satu peluang pun dalam semua perlawanan," katanya.
Pulau Pinang akan menyambung semula aksi dengan menentang Kelantan, 29 Ogos ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan