
KUALA LUMPUR: Episod malang Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) berterusan apabila dikenakan pemotongan tiga mata serta-merta oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam menjelaskan hukuman itu dikenakan susulan kegagalan persatuan itu membayar baki ansuran tunggakan gaji pemain dan pegawai mengikut jadual yang ditetapkan bagi kes yang sudah diputuskan Jawatankuasa Status FAM sebelum ini.
Stuart menjelaskan, persatuan terbabit berjaya membuat bayaran mengikut pelan penyelesaian bagi baki yang masih tertunggak pada tarikh akhir bayaran ansuran pertama dan kedua iaitu pada 31 Januari dan 29 Februari.
"Bagi baki tunggakan yang belum diselesaikan mengikut ketetapan yang disediakan, KAFA diberi tempoh sehingga tarikh akhir bayaran ketiga iaitu 30 April untuk menyelesaikan tunggakan dan akan dipotong tiga mata jika gagal berbuat demikian.
"Selepas mengambil kira situasi semasa COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), FIB Pelesenan Kelab FAM membuat keputusan untuk melanjutkan masa sehingga 30 Julai kepada KAFA untuk menyelesaikan tunggakan terbabit.
"Namun sehingga 30 Julai, tiada sebarang pembayaran baki yang masih tertunggak dibuat oleh KAFA seperti mana jadual pembayaran yang mereka sendiri tetapkan dan maklumkan kepada FAM.
"Justeru, KAFA didapati gagal untuk menghormati jadual pembayaran yang dipersetujui dan ditetapkan, sekali gus dikenakan hukuman pemotongan tiga mata," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam masa sama, Stuart memaklumkan FIB Pelesenan Kelab FAM memberikan tempoh sehingga 31 Ogos kepada KAFA untuk mengemukakan penyelesaian tunggakan gaji pemain dan pegawai sekiranya ada tunggakan sebelum 30 Jun untuk memenuhi syarat pelesenan kelab bagi 2020.
"Jika gagal, mereka mungkin tidak akan mendapat lesen kelab tahun ini untuk bertanding di Liga Malaysia (Liga M) 2021," katanya.
Dalam perkembangan lain, Stuart menyatakan PDRM yang sebelum ini dipotong tiga mata pada tarikh akhir pertama iaitu pada 31 Januari sudah menunjukkan pergerakan positif untuk menyelesaikan tunggakan dan hanya mempunyai satu kes di tahap rayuan pada masa ini.
"Bagi Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) yang sebelum ini dipotong tiga mata selepas tarikh akhir kedua bayaran ansuran tunggakan 2019 pada hujung Februari, FAM masih memantau pelan pembayaran yang sudah dipersetujui dan ditetapkan oleh mereka bersama pemain dan pegawai terlibat yang mana ketika ini masih berjalan lancar.
"Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) pula masih hanya mempunyai tunggakan hutang dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), sama seperti tiga pasukan lain yang mempunyai tunggakan hutang dengan agensi kerajaan sama ada LHDN, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mahupun Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
"Mengikut Peraturan Pelesenan Kelab FAM, tunggakan hutang dengan LHDNM, KWSP dan PERKESO mesti dilunaskan dengan pembayaran atau rancangan penyelesaian menjelang 31 Ogos," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan