Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin ketika sidang media selepas Kongres FAM ke-56 di Petaling Jaya, hari ini. - Foto NSTP/Hairul Anuar Rahim
KUALA LUMPUR: Skuad Bawah 19 tahun (B-19) negara berkemungkinan besar perlu mengikut jejak langkah pasukan senior apabila terpaksa 'goyang kaki' sekurang-kurangnya sehingga tahun depan.
Ini kerana Kejuaraan B-19 Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2020 di Uzbekistan, Oktober ini tampak menjadi satu lagi 'mangsa' pandemik COVID-19 selepas perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 dan Piala AFF turut ditangguhkan.
Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin membayangkan kejohanan B-19 yang menawarkan tiket ke Piala Dunia Bawah 20 tahun (B-20) di Indonesia pada tahun depan itu berdepan kemungkinan ditangguhkan susulan beberapa situasi yang timbul akibat pandemik terbabit.
"Kalau kita lihat, pertandingan B-19 itu mungkin akan ditangguhkan sama seperti Piala AFF juga. Tetapi tahun depan pun masih lagi menjadi tanda tanya kerana kita tidak tahu senarionya bagaimana.
"Kalau hendak diteruskan juga, kita perlu tahu bahawa COVID-19 ini membabitkan semua negara yang bertanding. Kalau ada sebahagian pasukan tidak dibenarkan keluar oleh kerajaan mereka, mungkin ia tidak boleh diteruskan.
"Apapun, persiapan skuad B-19 dan juga skuad senior kebangsaan sentiasa menjadi keutamaan kita," katanya pada sidang media selepas Kongres Tahunan FAM ke-56 di sini, hari ini.
Ketika ini, skuad bimbingan Brad Maloney itu sedang mengharungi latihan fasa kedua yang bermula sejak 3 Ogos lalu dan akan berakhir esok sebagai persiapan ke kejohanan terbabit.
Pada kejohanan di Uzbekistan itu, Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama Tajikistan, Qatar dan Yaman dengan semua perlawanan berlangsung di Stadium AGMK, Olmalik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan