Dollah Salleh: Sumareh sudah tidak lagi berlatih dengan Pahang
Jurulatih Pahang, Dollah Salleh membuat pengakuan mengejut apabila Mohamadou Sumareh sudah tidak lagi menjalani sesi latihan bersama pasukannya sejak sebulan yang lalu.
Ini bermakna, selepas pasukan Liga Malaysia mula dibenarkan berlatih secara berpasukan pada 15 Julai dan kemudian dibenarkan mengadakan perlawanan persahabatan, Sumareh tidak lagi menyertai sesi latihan.
Perkara ini boleh dibuktikan menerui gambar yang dimuatnaik pada 17 Julai menerusi akaun Facebook milik Pahang FA, yang menunjukkan Sumareh sedang membuat latihan menendang bola sambil disaksikan oleh Dickson Nwakaeme.
Gambar-gambar sesi latihan yang dimuatnaik pada hari-hari berikutnya menunjukkan tidak ada langsung kelibat Sumareh.
“Mengenai Sumareh, sebenarnya dia tidak lagi bersama pasukan sejak sebulan yang lalu, dia tidak muncul dalam sesi latihan,” kata Dollah kepada Astro Arena.
“Apa sebab di sebalik perkara yang berlaku, kami akan mendapatkan penjelaskan daripada pihak pengurusan.”
Situasi itu menguatkan lagi spekulasi bahawa Sumareh akan menyertai juara bertahan Liga Super, JDT tidak lama lagi.
Malah, ia berlaku ketika Safawi Rasid bakal meninggalkan JDT dan akan menyertai kelab Portugal, Portimonense SC selepas saingan Liga Super berakhir pada Oktober ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan