Ahli Lembaga Pengarah MFL, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi. - NSTP/Hafiz Sohaimi
KUALA LUMPUR: Keputusan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengekalkan penyingkiran bagi Liga Super dan sebaliknya tiada untuk Liga Perdana adalah bagi memastikan Liga Malaysia (MFL) terus 'bernyawa' sehingga penghujung musim.
Ahli Lembaga Pengarah MFL, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi menjelaskan keputusan itu dilihat akan terus merancakkan lagi persaingan antara semua pasukan yang bertanding apatah lagi saingan musim ini dipotong separuh dan kempen hanya berbaki tujuh perlawanan lagi.
Jelasnya, ketiadaan penyingkiran dari Liga Super akan menyebabkan tiada promosi dapat dilakukan untuk pasukan Liga Perdana sekali gus akan menyaksikan pasukan tidak akan bersungguh-sungguh untuk menamatkan musim ini.
"Kita mahukan supaya adanya persaingan sengit antara semua pasukan sebab kalau tiada apa yang mahu direbut, nanti pasukan pun jadi tidak kisah. Kalau tiada penyingkiran daripada Liga Super, kita pun tidak boleh promosi pasukan dari Liga Perdana pula.
"Dengan keputusan ini, persaingan untuk penyingkiran di Liga Super tetap berlangsung sekali gus memberi kesan kepada pasukan Liga Perdana di mana mereka masih boleh memburu slot automatik ke Liga Super musim depan. Jadi kita nampak persaingan itu tetap ada.
"Secara tidak langsung juga, kualiti Liga M itu dapat terus dipertahankan dan kita dapat saksikan aksi penuh komitmen daripada semua pasukan," katanya.
Sebagai rekod, MFL membuat sedikit perubahan pada musim depan selepas pandemik COVID-19 menyebabkan saingan Liga M berehat lebih lima bulan sejak pertengahan Mac lalu.
MFL mengesahkan penyingkiran tetap dilaksanakan walaupun saingan hanya dijalankan secara separuh liga namun pasukan Liga Perdana boleh menarik nafas lega apabila mereka tidak akan disingkirkan ke M3 sekalipun menduduki dua tempat tercorot.
Ia susulan pembatalan aksi Liga M3 pada musim ini menyaksikan tiada pasukan yang boleh dipromosi daripada saingan itu untuk ke Liga Perdana musim depan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan