
KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menolak amalan dwistandard, mengambil jalan pintas mahupun melanggar peraturan dan tatacara operasi standard (SOP) yang ditetapkan dalam memilih pemain untuk menganggotai pasukan kebangsaan.
Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam menjelaskan pihaknya tidak akan berkompromi dalam mematuhi peraturan, garis panduan dan undang-undang kerajaan berhubung proses kuarantin berkaitan COVID-19 serta taraf kerakyatan untuk mana-mana individu bagi semua peringkat umur skuad negara.
Malah, beliau berkata badan induk itu sama sekali tidak akan melanggar peraturan sedia ada, sama ada dari sudut SOP, proses dokumentasi yang ditetapkan kerajaan mahupun proses dalaman FAM semata-mata untuk memenuhi hasrat mana-mana individu.
"Proses dalaman FAM, termasuk keputusan jurulatih dan jawatankuasa FAM serta protokol penilaian dari sudut teknikal mestilah dihormati bagi berlaku adil kepada semua pihak," katanya.
Stuart berkata demikian sebagai merujuk kepada dua kes berhubung keputusan mengenai status Marcel Kalonda serta kepulangan Wan Ahmad Kuzri Wan Ahmad Kamal untuk menjalani latihan bersama skuad bawah 19 (B-19) tahun negara.
Mengulas lanjut, Stuart berkata FAM membuat keputusan Kalonda tidak boleh dipertimbangkan mewakili negara berdasarkan semakan dan penyiasatan menyeluruh oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) terhadap semua dokumen berhubung dakwaannya yang mempunyai pertalian darah dengan rakyat Malaysia.
Bagi kes Wan Ahmad Kuzri pula, beliau berkata pemain yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu mematuhi proses kuarantin selepas menyatakan kesediaan menjalani latihan bersama skuad B-19 dan dinilai dari segi kemahiran teknikal sebagai usaha meyakinkan panel kejurulatihan.
"Dua contoh ini mencerminkan kesungguhan FAM mengikut setiap proses undang-undang serta peraturan dalaman. Jadi, FAM tidak ada niat mengambil jalan pintas dan memberi keistimewaan kepada mana-mana pemain.
"FAM mengambil pendirian kami akan menghormati semua proses sedia ada membabitkan pihak luar mahupun proses dalaman, khususnya protokol penilaian pemain dari sudut teknikal tanpa bergantung semata-mata kepada reputasi dan rakaman video.
"Tidak ada pemain yang boleh berfikir bahawa dia dipilih secara automatik atas dasar reputasi. Sebaliknya, FAM sentiasa bersedia menghulurkan bantuan dan menjadi pemudahcara bagi mana-mana pemain yang ikhlas untuk menyarung jersi negara," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan