
MELAKA: Penyokong bola sepak Melaka menyokong sebarang usaha membenarkan peminat menyaksikan perlawanan Liga Malaysia yang bakal membuka tirai saingan 26 Ogos depan.
Bagi mereka skala kecil kehadiran penyokong ke venue amat wajar buat masa ini namun perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) diperkenalkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Pengerusi Kelab Penyokong Melaka United (KPMU), Mohd Fairuz Mohd Sirat berkata, peminat jelas akur dengan sebarang kebenaran pihak berwajib demi keselamatan umum sebelum individu dibenarkan kembali ke stadium.
Menurutnya, kehadiran penyokong pastinya memberi impak yang besar terhadap saingan liga berbanding tanpa mereka terutama dalam meningkatkan kualiti permainan.
"Secara dasarnya penyokong memainkan peranan penting membantu kemenangan atau menyebabkan kekalahan pasukan. Ia berikutan semangat pemain amat berbeza ketika mereka menerima sokongan dan sorakan di gelanggang sendiri atau lawan.
"Malah pemain ke-12 dilihat antara nadi terpenting buat kejayaan sesebuah pasukan di negara ini mahupun di pentas antarabangsa," katanya.
Bagi ahli Kelab Demi Penyokong Melaka United, Ronny Samad, walaupun apa keputusan sekali pun pandangan peminat perlu diambil kira dalam memeriahkan saingan Liga M sekali gus mengelak saingan hambar dan tidak menarik.
Beliau berkata, tanpa penyokong perlawanan ibarat seperti latihan biasa sekali gus merekodkan saingan hanya umpama melengkapkan jadual perlawanan.
Semalam Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mengemukakan permohonan rasmi kepada MKN dan KKM, berhubung kebenaran penyokong menghadiri perlawanan bola sepak Liga-M 2020, dalam masa terdekat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan