Tunku Ismail (tengah) menjadi arkitek JDT yang berjaya membina empayar cukup gah di persada bola sepak tanah air.
SUKA atau tidak, persatuan bola sepak dilihat masih keliru dalam industri bola sepak.
Zaman kini serba pantas dan bola sepak bukan lagi dilihat sebagai sukan semata-mata, sebaliknya mampu menjadi satu industri perniagaan yang cukup stabil.
Bagaimanapun, majoriti pasukan bola sepak di Malaysia hari ini dilihat masih selesa dengan mengharapkan subsidi terutama daripada pihak kerajaan negeri tanpa mengintai mekanisme lain dalam usaha menambah kewangan mereka.
Kelangsungan pasukan diuji dengan penuh rintangan sebagaimana sebahagian besar daripada mereka sedang bergelut meneruskan survival dalam bola sepak tempatan ketika menempuhi Covid-19.
Mereka seharusnya mengambil iktibar apa yang telah berlaku sepanjang pandemik ini. Mereka juga harus mencari mekanisme yang lebih relevan bagi formula menambah pendapatan daripada aspek komersial dan sebagainya.
Dalam masa sama, setiap pasukan harus menghargai peranan penaja selepas menyaksikan apa yang berlaku akibat Covid-19. Kebanyakan pasukan dan penaja juga sedang berdepan detik kesukaran.
Lebih menyedihkan, ada juga cerita kemunculan ‘tangan ghaib’ yang mahu menjadi wira bermain politik, melawan arus penaja, tetapi sebenarnya tidak memberikan apa-apa sumbangan kepada pasukan - hanya ingin jawatan dan glamor.
Sikap itu haruslah dibuang dan ingatlah bukanlah tanggungjawab presiden persatuan bola sepak sahaja untuk mencari penaja. Sebaliknya, jawatan tinggi lain termasuk barisan exco harus memiliki semangat perjuangan yang sama untuk mendapatkan tajaan buat pasukan mereka sendiri.
Merujuk artikel Sinar Harian yang bertajuk ‘Penaja masih setia hulur tajaan’ Khamis lalu, penulis menganggap bola sepak Malaysia memiliki potensi untuk menjadi satu industri yang menjana ekonomi negara jika semua pihak jujur dan amanah demi bola sepak negara.
Contohi kejayaan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan pujian harus diberikan kepada pemilik kelab itu, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang telah berjaya memberikan dimensi baharu perjalanan kelab bola sepak negara.
Tunku Ismail berjaya menjadikan JDT sebagai satu empayar cukup gah dalam dan luar negara yang mana penulis percaya pasukan-pasukan lain boleh berbuat demikian jika menjadikan skuad Harimau Selatan itu sebagai modul.
Akhir kata, jika tak dapat ikut 100, ikut 30 peratus daripada modul JDT sudah memadai. Tetapi jika sikap dengki dan cemburu masih menebal di hati, bukan satu perkara mustahil jika ada yang masih di takuk lama, gaji tak terbayar dan macam macam lagi.
Jangan macam-macam lagi, ubah sikap, menuju dimensi baharu dalam pemikiran dan bukan hanya mahukan jawatan semata-mata!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan