Featured post

📆 Jadual perlawanan CIMB Liga Super dan Liga Premier musim 2020!#LigaMalaysiaKembali#CIMBLigaSuper2020#LigaPremier2020

📆 Jadual perlawanan CIMB Liga Super dan Liga Premier musim 2020! Untuk download,  https:// https:/U/ we.tl/t-O8tyMSagYQ Anda bole...

Khamis, 30 Julai 2020

PDRM hilang khidmat Bryan



SKUAD PDRM menerima tamparan apabila penjaga gol utamanya, Bryan See mungkin tidak dapat membantu pasukannya pada saingan awal Liga Super yang bakal disambung semula 26 Ogos ini kerana mengalami kecederaan serius.
Khabar duka itu dimaklumkan jurulatihnya, Mohamad Ishak Kunju Mohamad yang menyatakan tonggak di barisan terakhir itu bakal berehat lebih sebulan berikutan kecederaan yang dialaminya.
Sebelum ini skuad The Cops bakal kehilangan penyerang importnya kelahiran England, Antonio Timothy German yang sehingga kini belum lagi menyertai kem latihan bersama pasukannya kerana masih berada di negaranya.
"Kecederaan hamstring tahap dua yang dialami penjaga gol utama itu sudah pasti memberi tamparan hebat buat pasukan kami yang bakal mengharungi saingan liga bertemu Kedah pada 27 Ogos depan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur.
"Ini kerana bekas pemain yang pernah beraksi di luar negara bersama kelab Bangkok FC dalam Liga Thailand musim lalu itu terpaksa berehat lebih sebulan ketika perlawanan pertama hanya berbaki tidak sampai sebulan lagi.
"Kami meletakkan harapan yang tinggi agar pemain berusia 27 tahun itu cepat pulih dan seterusnya dapat membantu pasukan mengharungi baki tujuh perlawanan lagi dalam misi kita untuk kekal bersaing dalam Liga Super musim depan," kata bekas pertahanan Terengganu itu.
Mengenai German, Ishak akui terkilan kerana pemain itu masih lagi belum menjalani latihan bersama pasukannya ketika aksi pertama semakin hampir.
Beliau membayangkan pemain itu tidak akan bersama pasukan apatah lagi ketika dunia kini berdepan dengan pandemik Covid-19 yang sekali gus menyukarkan pemain itu untuk pulang biarpun pihak pengurusan sudah berhubung dengan ejen pemain itu.
"Jika ikutkan kami memerlukan khidmatnya untuk menjadi penggempur di jentera serangan lebih-lebih lagi kami hanya mempunyai seorang sahaja tenaga import di bahagian itu.
"Tapi apa boleh buat dia masih belum hadir dan kini saya terpaksa membuat keputusan mencuba beberapa pemain tempatan untuk menggalas tugas sebagai penyerang," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan