KUALA LUMPUR: Penyerang muda sensasi negara, Luqman Hakim Shamsudin berpeluang cerah mengintai tempat dalam senarai akhir 20 pemain selepas terus mengungguli undian bagi Anugerah Golden Boy anjuran media Itali, Tuttosport.
Setakat jam 2 petang semalam, pemain yang bakal menyertai pasukan Liga Belgium, KV Kortrijk itu mendahului dengan menerima 3,949 undian atau 14 peratus daripada 27,911 secara keseluruhan.
Pencabar terdekatnya iaitu pemain Sporting Lisbon, Eduardo Quaresma mendapat lapan peratus atau 2,238 undian, diikuti pemain tengah Red Salzburg, Dominik Szoboszlai, sebanyak enam peratus (1,664 undian).
Beberapa nama besar yang lain jauh ketinggalan antaranya penyerang Manchester United, Mason Greenwood yang mendapat lima peratus; penyerang prolifik Borussia Dortmund, Erling Haaland (empat peratus); pertahanan Bayern Munich, Alphonse Davies (dua peratus) dan penyerang Manchester City, Phil Foden serta pemain sayap Chelsea, Callum Hudson Odoi dengan masing-masing satu peratus.
Daripada 80 nama yang dicalonkan ini, jumlahnya akan disaring kepada 20 pemain yang dipilih menerusi undian awam sebelum 40 panel yang terdiri daripada wartawan pelbagai negara dan penerbitan akan memilih pemenang keseluruhan.
Bagaimanapun, nama Haaland disebut sebut sebagai calon pemenang paling layak berdasarkan prestasi semasanya yang memukau selepas menyertai Borussia Dortmund pada Januari lalu.
Antara pemain yang pernah memenangi Anugerah Golden Boy' ini adalah Rafael van der Vaart (2003), Wayne Rooney (2004), Lionel Messi (2005), Raheem Sterling (2014) dan Kylian Mbappe (2017).
Edisi lalu menyaksikan pemain Atletico Madrid, Joao Felix merangkul anugerah berprestij itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan