Luqman Hakim
PENYERANG muda sensasi negara, Luqman Hakim Shamsudin disenaraikan untuk menyertai kem latihan pusat Fasa Dua skuad Bawah 19 Tahun (B-19) negara yang berlangsung selama empat minggu bermula Isnin depan.
Kem latihan pusat Fasa Dua yang bermula 3 hingga 30 Ogos depan itu adalah sebagai persediaan bagi menghadapi pusingan akhir Kejuaraan B-19 AFC 2020 di Uzbekistan dari 14 hingga 31 Oktober.
Pemain kelahiran Kota Bharu yang dilamar kelab profesional Belgium, KV Kortrijk akan bergandingan dengan pemain berpangkalan di Amerika Syarikat, Wan Ahmad Kuzri Wan Ahmad Kamal buat pertama kali.
Menurut kenyataan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini, Ketua Jurulatih B-19 negara, Brad Maloney menyenaraikan kedua-dua pemain berkenaan bersama 33 lagi pemain untuk menjalani kem latihan pusat di Wisma FAM, Kelana Jaya.
Daripada keseluruhan 35 pemain disenaraikan pada Fasa Dua ini, Maloney mengekalkan 26 pemain daripada kem latihan pusat Fasa Pertama yang berakhir Ahad lepas untuk terus dinilai.
“Maloney masih dalam proses penilaian pemain sebelum meneruskan kem latihan Fasa Tiga pada September depan bagi memilih senarai akhir 23 pemain yang akan ke Uzbekistan,” menurut kenyataan itu.
Luqman Hakim bersama beberapa tonggak utama seperti Harith Haiqal Adam Afkar dan Mukhairi Ajmal Mahadi diketepikan sebelum ini dan akan menyertai kem latihan pusat yang berikutnya.
Selain Luqman Hakim, dua lagi pemain baharu yang tersenarai adalah penjaga gol, Ahmad Irfan Ibrahim (Terengganu FC); pemain tengah Ziad Al Basheer (Akademi Bola Sepak Mokhtar Dahari (AMD B17)) selain Syahmi Adib Haikal Mohd Shukri (AMD B-17).
Pada pusingan akhir di Uzbekistan, Malaysia akan membuka tirai saingan Kumpulan D bertemu Tajikistan pada 16 Oktober diikuti aksi kedua menentang bekas juara Qatar (19 Oktober) dan aksi terakhir berdepan Yaman pada 22 Oktober.
Empat pasukan yang berjaya melangkah ke separuh akhir secara automatik layak ke Piala Dunia B-20, 2021 dan skuad B-19 negara menyasarkan muncul pasukan Malaysia pertama layak secara merit ke pentas Piala Dunia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan