Akhirnya Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) yang baharu, Muhammad Sanusi Md Nor tampil menjelaskan yang beliau tidak akan gunakan wang Kerajaan Negeri.
Ia bagi menjawab persoalan mengapa masih belum ada bantuan dana daripada Kerajaan Negeri bagi mengatasi kemelut tunggakan gaji hampir lima bulan yang sedang dilalui oleh barisan kejurulatihan dan juga pemain-pemain Kedah.
‘Saya tidak akan ambil duit itu‘
Memetik kenyataannya yang juga merupakan Menteri Besar Kedah, Sanusi berkata dalam sidang media, “Saya tidak akan ambil duit itu untuk selesai masalah bola kerana ini adalah duit rakyat seperti duit untuk golongan yang memerlukan.”
“[Ia juga untuk] anak yatim, ibu tunggal, sekolah dan lain-lain serta pembangunan khususnya untuk orang ramai. Saya Muhammad Sanusi Md Nor tidak akan lakukan,” tegasnya lagi sambil memaklumkan beliau sedang memikirkan kaedah lain.
Sanusi juga berkata yang beliau turut prihatin dengan isu ini namun, “Saya hendak jelaskan kepada peminat yang khususnya prihatin kepada pasukan, saya pun turut prihatin, tetapi masalah gaji ini sudah berlaku sejak tahun lalu.
“Bukan sahaja tunggakan gaji, tetapi membabitkan juga tunggakan Lembaga Hasil Dalam Negeri [LHDN], Kumpulan Wang Simpanan Pekerja [KWSP] dan tiket pengangkutan. Perkara ini bukan berlaku dua minggu lepas,” jelasnya.
Penaja tanpa harap ‘kantung’ negeri
Sanusi turut memaklumkan sedang dalam proses mencari dan berunding dengan penaja baharu buat KFA dan selepas ini mungkin tidak lagi memerlukan dana daripada Kerajaan Negeri sebagaimana yang menjadi amalan sebelum ini.
“Saya ada dua hingga tiga penaja baharu yang saya akan pergi berjumpa dan juga mereka akan datang berjumpa saya dan setakat ini, biarlah ianya menjadi rahsia dahulu dan saya harap ianya menjadi kenyataan,” ujar Sanusi lanjut.
“Saya positif berkaitan hal penajaan ini cuma berkaitan gaji saya harap tukarlah sedikit dan janganlah tinggi sangat,” tambahnya lagi yang turut berkata ada di kalangan pemain yang gajinya mencecah sehingga RM125 ribu sebulan.
Beliau dan pihak pengurusan KFA akan mengkaji sedalam-dalamya mengenai perancangan yang dilakukan pengurusan tertinggi yang lalu sebelum menilai semula kesesuaian perancangan termasuk pemotongan gaji yang bakal dilakukan.
Pemain perlu tunggu lagi
Nampaknya isu gaji ini tidak akan selesai dalam sekelip mata. Kerana berdasarkan kenyataan Sanusi, beliau akan mencari kaedah lain dan sepatutnya isu gaji tertunggak ini perlu merujuk kepada pentadbiran sebelum ini, bukanlah dirinya.
“Pada masa itu tidak ada siapa pun yang merungut dan selepas saya memegang jawatan dalam dua minggu, ada pula yang ‘hentam’ saya, ini saya rasakan tidak patut. Pergi [tanya] kepada bekas Presiden yang bertanggungjawab mencetuskan semua ini.
“Dia tidak ukur baju di badan sendiri. Dia hendak ikut siapa pada masa itu?” soal Sanusi lagi mengenai kesilapan pengurusan lama yang dilihat tiada perancangan kewangan yang baik ketika di bawah urus tadbir Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir.
Melihatkan muat naik terbaharu pemain pertahanan otai Kedah, Khairul Helmi Johari di Twitter seakan-akan menunjukkan yang Helang Merah kini sudah mati.
Penutup
Menurut laporan Berita Harian, KFA menanggung hutang kira-kira RM10.6 juta. Sanusi menegaskan sekiranya melantik Menteri Besar sebagai Presiden sebagai langkah untuk mengambil dana kerajaan negeri, beliau sesekali tidak akan lakukannya.
Jadi, nampaknya selagi tiada pengumuman mengenai penajaan baharu buat Kedah, maka pemain dan barisan kejurulatihan akan terpaksa mengikat perut mereka.
KREDIT FEATURED IMAGE: MALAY MAIL
Tiada ulasan:
Catat Ulasan