
KAWALAN keselamatan bola sepak sebelum pandemik Covid-19 amat jauh berbeza berbanding ketika wabak berkenaan dikenal pasti dan melanda negara serta dunia.
Bekas pegawai keselamatan Liga Malaysia membabitkan venue di Melaka, Asisten Superintendan Sukarelawan Polis (B) Borhan Benjamin Abdullah berkata, sepanjang lebih 15 tahun beliau bertugas memantau keselamatan di Stadium Hang Tuah dan Stadium Hang Jebat isu keselamatan berjaya di kawal dengan begitu baik oleh pihak Polis, pasukan keselamatan, jawatankuasa pertandingan mahupun Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA).
Katanya, insiden pergaduhan, salah faham atau sebarang perkara berbangkit berjaya di atasi dengan positif dan cemerlang.
"Namun ketika wabak Covid-19 menyerang dunia menyebabkan kekangan dalam pelbagai aspek sehingga semua liga antarabangsa dan Liga Malaysia (Liga M) terpaksa dihentikan, memerlukan kerja keras yang lebih drastik dan fokus."
Ia didorong berkaitan penyakit berjangkit yang membahayakan terutama jika setiap individu tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan," katanya.
Baginya, kawalan pencegahan penyakit sebegini lebih kritikal berbanding kawalan fizikal terhadap penonton sebelum pandemik Covid-19 yang hanya berkisar dalam aspek tidak puas hati pemain mahupun provokasi penyokong dan di dalam dan luar stadium.
Borhan berkata, risiko Covid-19 yang menyerang tanpa sedar memerlukan kerjasama yang begitu rapi yang perlu dilakukan dalam semua aspek terutama penekanan SOP yang ketat.
Malah, ia amat rumit dan perlu berhati-hati dan tidak boleh ambil mudah oleh setiap individu yang terbabit terutama petugas yang dipertanggungjawabkan mahupun penyokong yang bakal diberi kebenaran.
Sehubungan itu, SOP yang ketat perlu terus diperkenalkan kepada semua yang terbabit termasuk kemudahan yang disediakan berikutan dibimbangi wujud kluster baharu.
Beliau berkata, ia bertambah rumit selepas wabak berkenaan dilihat kembali membimbangkan selepas agak terkawal sebelum ini.
Bagaimanapun, beliau yakin Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mampu mengawal situasi terbabit menerusi panduan saranan, nasihat dan keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) .
Beliau yang sudah bersara sejak dua tahun lalu berkata, doanya saingan bola sepak berjalan lancar dan selamat tanpa kejadian yang tidak diingini berlaku.
Malah beliau menganggap alternatif menangguhkan sementara liga yang dijadualkan 26 Ogos ini ke tarikh lain atau pertengahan September adalah langkah bijak untuk keselamatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan