KUALA LUMPUR: Pengurusan baharu Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) perlu mengambil tanggungjawab untuk mencari jalan bagi menyelesaikan 'hutang lama' berjumlah lebih RM10 juta yang ditanggung pasukan itu dan bukan sekadar menuding jari kepada pengurusan terdahulu.
Bekas Setiausaha Kehormat KFA, Asmirul Anuar Aris menjelaskan apabila berlakunya pengambilalihan sesuatu organisasi, maka pengurusan baharu perlu bersedia menanggung segala 'warisan' yang diterima memandangkan pihak pengurusan juga sudah bertukar.
"Apabila anda mengambil alih sesebuah syarikat, persatuan mahupun kerajaan atau dengan kata lain telah bertukar tangan pihak pengurusan maka segala perjanjian, liabiliti, hutang dan pengurusan aset akan turut berpindah tangan.
"Pihak yang berkenaan perlu berusaha menjelaskannya. Tidak timbul kenapa pengurusan yang lama tidak menjelaskannya kerana amanah dan tanggung jawab tersebut telah dirampas di pertengahan jalan pemerintahan.
"Pemain menandatangani kontrak dengan persatuan bukan dengan pihak pengurusan. Adalah menjadi tanggungjawab presiden selaku ketua di sesebuah organisasi untuk bertindak mencari jalan penyelesaiannya bukan dengan cara menuding jari kepada pengurusan lama," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Mengulas mengenai persoalan yang ditimbulkan membabitkan jumlah gaji pemain yang dikatakan terlalu tinggi, Asmirul menyatakan perbelanjaan sudah dinaikkan kerana kesungguhan KFA untuk mengangkat martabat bola sepak Kedah ke peringkat Asia.
"Pembelian Kpah (Sherman) dan Kipre (Tchetche) menjadi keutamaan kerana Kedah perlu memantapkan jentera serangan berikutan dengan kegagalan saingan final Piala Malaysia 2019. Jumlah gaji yang di terima tidaklah sebagaimana yang digemburkan.
"Soal tiada kemampuan tidak timbul kerana kami pada ketika itu amat berkeyakinan untuk menjelaskan jumlah keseluruhan. Apakah perlu untuk kita membiarkan mutu bolasepak negara/negeri masih ditakuk lama sedangkan pihak kerajaan bersikap bagaikan melepas batuk di tangga?" katanya.
Dalam masa sama, Asmirul menegaskan dia sedia menyokong supaya tindakan segera diambil sekiranya wujud penyelewengan yang dirasakan dalam kalangan pihak pengurusan yang terdahulu.
"Tiada siapa pun yang inginkan penyelewengan ditutup rapat. Demi sukan harum negeri. Bukan demi sukan penyelewengan berlaku.
"Jangan biarkan bola sepak di Kedah menyusuri jalan-jalan mendung hingga kembali menitip pulang ke zaman kegelapan. Rakyat menanti penuh pengharapan agar zaman kegemilangan sentiasa bersinar tidak akan pudar ditelan waktu," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan