DRAMA kemelut hutang yang melanda Kedah sampai ke kemuncak apabila barisan bekas pengurusan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) menafikan mereka adalah punca menyebabkan hutang lebih RM10 juta membelenggu pasukan terbabit.
Terbaharu menerusi laman sosial Facebook, bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Mukhriz Mahathir memaklumkan bahawa tiada pemain Kedah pada tahun lalu yang dibayar gaji sehingga mencecah RM125,000.
Malah, Mukhriz mendakwa ketika memegang tampuk kepimpinan KFA, pihaknya berusaha menurunkan bebanan perbelanjaan supaya tidak terbeban tanpa menjejaskan kebajikan pemain dan pengurusan pasukan.
Beliau berkata, kos pengurusan pasukan meningkat kembali walaupun sudah melakukan penjimatan apabila pasukan berjaya layak kejohanan Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC).
"Kami tetap berusaha membiayai semua kos melalui geran kerajaan Kedah, Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) dan swasta.
"Belum sempat KFA dapatkan penajaan, pertukaran kepimpinan pula berlaku. Saya harap presiden sekarang tidak tuding jari kepada kepimpinan terdahulu dan sedaya upaya selesaikan masalah yang berlaku," katanya, di sini.
Sebelum itu, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor yang baru dilantik sebagai Presiden KFA pada 12 Julai lalu mendedahkan, skuad Helang Merah kini berhadapan dengan bebanan tinggalan hutang lama berjumlah RM10.6 juta termasuk gaji, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan tunggakan tiket pengangkutan.
Sanusi menegaskan, KFA tidak akan sama sekali menggunakan duit kerajaan negeri bagi menyelesaikan hutang berkenaan sebaliknya satu kajian terperinci akan dilakukan sebelum menilai semula kesesuaian perancangan termasuk pemotongan gaji yang bakal dilakukan pihaknya.
Sementara itu, bekas Setiausaha Kehormat KFA Asmirul Anuar Aris berkata pembelian Kpah Sherman dan Kipre Tchetche menjadi keutamaan kerana Kedah perlu memantapkan jentera serangan berikutan kegagalan saingan final Piala Malaysia 2019 namun gaji yang di terima tidaklah sebagaimana yang di gemburkan.
"Umum menyedari bahawa bola sepak ialah sukan utama di Negeri Kedah. Satu-satunya riadah peminat yang tidak dapat hendak di kesampingkan. Itulah wajah keceriaan orang Kedah. Kegembiraan melangkah ke final kebanggaan rakyat negeri.
"Justeru itu perbelanjaan menaik taraf kemudahan sukan bolasepak harus di naikkan. Ini termasuklah perbelanjaan menguruskan kewangan KFA ke atas Piala Presiden, Piala Sharifah Rodziah (wanita), Piala Belia, Kenari Kids, Helang Muda dan Futsal.
"Soal tiada kemampuan tidak timbul kerana kami pada ketika itu amat berkeyakinan untuk menjelaskan jumlah keseluruhan. Apakah perlu untuk kita membiarkan mutu bolasepak negara/negeri masih di takuk lama sedangkan pihak kerajaan bersikap bagaikan melepas batuk di tangga?," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan