
PENGENDALI skuad Bawah-19 (B-19) Brad Maloney akan menumpukan latihan taktikal pada minggu ketiga latihan selepas melakukan saringan ujian kecergasan kepada pemain sebelum ini.
Beliau berkata, setakat ini, semua pemain memberikan komitmen yang baik dan menunjukkan perkembangan positif sepanjang tempoh dua minggu latihan.
Katanya, terdapat empat pemain yang terpaksa digugurkan iaitu membabitkan penjaga gol, Mohd Azlizan Mohd Azlan dan Mohammad Nazemizan Naslon masing-masing daripada Sabah.
Dua lagi adalah Mohammad Zarif Syamil Mohammad Zaman dan Abdul Raziq Abdul Rahim manakala pelatih Akademi Mohktar Dahari (AMD) Syahmi Adin Haikal Mohd Shukri dipanggil menyertai kem latihan hari ini.
"Minggu ini kita tumpu kepada latihan taktikal dan akan menguruskan perlawanan persahabatan dalam masa terdekat ini untuk menilai lagi mereka dengan tepat.
"Sebelum ini, kita fokus kepada stamina mereka dan didapati empat daripada pemain agak kurang sekali gus digugurkan namun tetap akan dipantau untuk dipanggil kembali nanti," katanya, ketika ditemui pada sesi latihan skuad B-19, di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Selain itu, beliau berkata kemungkinan skuad B-19 akan mengharungi dua perlawanan persahabatan dalam masa terdekat ini namun belum memuktamadkan pasukan mana yang akan ditemui nanti.
Berkaitan perkembangan pemain muda yang beraksi di Amerika Syarikat Wan Kuzri Wan Kamal, Maloney berkata terlalu awal untuk merumuskan prestasi adik kepada Wan Kuzain itu berikutan setakat ini dia baharu dua hari menjalani latihan lengkap berikutan keadaan cuaca tidak menentu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan