Kapten Kedah, Baddrol Bakhtiar menyatakan yang beliau kecewa dengan kenyataan yang dibuat oleh Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), semalam.
Bercakap kepada portal New Straits Times, Baddrol berkata yang politik di dalam sukan sememangnya tidak pernah menjadi perkara yang baik. Sebelum ini mereka dijanjikan tunggakan gaji akan selesai, namun sehingga kini, ia masih belum berakhir.
‘Saya simpati dengan para pemain’
Selama beberapa bulan, pemain paling lama berbakti bersama Kedah itu memilih untuk mendiamkan diri, namun selepas kenyataan daripada Presiden KFA yang baharu dilantik pertengahan Julai lalu itu dilihat telah menjentik dirinya tampil bersuara.
“Saya bersimpati dengan para pemain. Apa yang saya lakukan ini adalah demi mereka,” jelas pemain tengah berusia 32 tahun itu mengenai kenyataannya tersebut.
“Sebagai pemain senior di dalam pasukan, saya berasa kasihan terutamanya kepada pemain-pemain muda yang telah berkongsi cerita mengenai kesusahan yang mereka lalui dalam meneruskan kehidupan harian mereka,” tambah Baddrol lagi.
Difahamkan tunggakan gaji untuk Kedah sudah menjangkau lima bulan dan walaupun sudah kerap kali pemain-pemain menjadikan media sosial sebagai medan luahan perasaan, ia seakan-akan tidak mendapat perhatian pihak sepatutnya.
Jangan politikkan bola sepak
“Saya sedih dan kecewa,” ungkap pemain yang mula bermain bersama Kedah sekitar tahun 2005 itu mengenai janji-janji bekas Presiden, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir sebelum ini, tetapi sehingga saat ini, semuanya masih belum berakhir.
“Ia bukanlah sesuatu yang baik apabila bola sepak dipolitikkan. Dan sepatutnya, tiada isu mengenai gaji kami. Ia memberi gambaran negatif kepada kami. Sebagai pemain, kami harus dibayar gaji kerana kami juga ada komitmen-komitmen lain.
“Ia bukan hanya pemain. Tetapi, jurulatih dan staf juga melalui perkara yang sama,” tambahnya sambil memaklumkan terdapat beberapa pemain sudah memanjangkan isu ini kepada Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM).
Dalam sidang media semalam, Presiden KFA yang baharu, Muhammad Sanusi Md Nor yang juga Menteri Besar Kedah telah mendedahkan yang terdapat dikalangan pemain-pemain yang bergaji sehingga RM125 ribu sebulan.
‘Ritual’ lima jari
Dalam pada itu, pada sesi latihan Kedah baru-baru ini, pemain-pemain Kedah telah diarahkan untuk menjalani perlawanan pemanas badan diantara mereka dan sebelum perlawanan tersebut bermula, mereka dilihat melakukan satu ‘ritual’ pelik.
Mengambil ilham kempen Black Lives Matter dijalankan di Premier League, mereka telah duduk di atas lutut dengan mengangkat tangan ke atas menunjukkan lima jari, seakan-akan memberi gambaran lima bulan gaji mereka masih tertunggak.
Menurut laporan Utusan Malaysia pula, seorang pemain yang tidak didedahkan nama menjelaskan yang mereka turun ke padang latihan hanya kerana rayuan pengendali, Aidil Sharin Sahak dan juga atas rasa hormat kepada pasukan dan penyokong.
Penmain itu dipetik berkata, “Memang ada pemain tidak mahu turun berlatih, tetapi jurulatih [Aidil Sharin Sahak] merayu dan beritahu mereka, dia sanggup meninggalkan keluarga di Singapura untuk kembali ke Kedah walaupun tidak bergaji.”
Penutup
Dengan kenyataan daripada kapten pasukan itu, jelas beliau mewakili suara semua pemain-pemain yang sebelum ini hanya menjadikan media sosial sebagai medan luahan perasaan. Kini, apa tindakan pihak pengurusan tertinggi Kedah?
Jika masih mahu menunggu mesyuarat KFA pada 3 Ogos depan bagi membincangkan isu ini, ianya dilihat sememangnya amat tidak wajar, malahan pula, tiada usaha di pihak mereka turun padang berjumpa sendiri jurulatih dan para pemain.
KREDIT FEATURED IMAGE: KEDAH FA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan